Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Beregu lelaki badminton negara mara ke suku akhir Sukan Asia

Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mencipta kejutan menewaskan pasangan di ranking ketiga dunia, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun untuk mara ke pusingan suku akhir acara badminton Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang hari ini.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Istora Senayan itu, pasangan negara yang menduduki ranking ke-25 dunia menampilkan aksi cemerlang untuk mengatasi antara pilihan utama temasya itu dengan keputusan 21-14, 21-17.

Yew Sin yang ditemui selepas tamat perlawanan berkata kejayaan menundukkan finalis Kejohanan Dunia 2018 itu adalah disebabkan komunikasi yang baik antara beliau dan pasangan selain berjaya mengekalkan disiplin sepanjang perlawanan.

“Kita bermain dengan bagus dan berjaya mengawal permainan dari awal lagi. Kita tidak beri peluang untuk mereka melakukan serangan dan strategi yang kami gunakan ternyata memudahkan kami untuk mencuri mata.

"Kami turun tanpa sebarang tekanan, malah tekanan itu lebih kepada mereka kerana mereka adalah pasangan pilihan.

Perjuangan buru pingat membara

"Sebab itu kami boleh bermain seperti biasa dan berjaya mengekalkan rentak positif sehingga tamat perlawanan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dengan kemenangan ini semangatnya untuk meneruskan perjuangan memburu pingat buat negara semakin membara.

“Sudah tentu kami akan lebih bersemangat selepas ini dan kita tahu betapa pentingnya untuk mendapatkan pingat buat negara dalam acara badminton ini.

"Ini adalah Sukan Asia, sudah tentu kita mahu berikan yang terbaik untuk menyumbangkan pingat,” katanya.

Menanti Yew Sin-Ee Yi di peringkat suku akhir yang dijadual berlangsung esok adalah antara pasangan tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto atau Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.

Dalam pada itu, perjuangan Malaysia dalam acara perseorangan lelaki berakhir selepas pemain muda negara, Lee Zii Jia tewas kepada pemain Korea Selatan, Son Wan-Ho 11-21, 17-21 pada pusingan kedua.

- Bernama

Lihat Komen
ADS