Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Syed Saddiq: Litar Sepang dibangun jadi hab sukan permotoran serantau

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan terus dibangunkan sebagai hab sukan permotoran di rantau Asia Tenggara, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selepas pemantauan litar berkenaan diletakkan di bawah penyeliaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bermula minggu lepas, Syed Saddiq berkata antara langkah awalnya adalah mendekatkan golongan belia kepada sukan permotoran.

Sebelum ini penyeliaan Litar Antarabangsa Sepang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

"Ia bukan sahaja kepada pelumba, malahan juga dalam pelbagai bidang kerjaya dalam sukan berkenaan seperti jurutera dan mekanik pasukan," katanya ketika ditemui media Malaysia selepas sidang media pengumuman kerjasama antara SIC dan Petronas, selaku penaja utama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team, pada Jumaat.

Dekati 'mat motor'

Beliau berkata antara sebab utama litar berkenaan diletakkan di bawah penyeliaan KBS adalah bagi memudahkan kementerian mendekati golongan belia khususnya golongan 'mat motor'.

"Kita (KBS) mahu mendekati golongan 'mat motor' ini dalam usaha mencari penyelesaian bersama selain mengiktiraf sukan permotoran sebagai sukan yang begitu penting di hati rakyat Malaysia.

“Misi saya hendak memastikan Litar Antarabangsa Sepang dijadikan hab sukan permotoran ASEAN. Ia akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan. Di situ kita ada pelbagai jenis perlumbaan seperti drag, F2, F3, F4, MotoGP (dan sebagainya).

"Supaya akhirnya ada pembangunan komprehensif dan di bawah KBS, ini akan dijadikan fokus kami," katanya.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan penggiat sukan berkenaan termasuk golongan belia yang meminati sukan permotoran dalam tempoh sebulan akan datang.

“Menerusi pertemuan ini, saya berharap kami dapat mencari titik pertemuan dan akhirnya suara mereka diambil kira dalam usaha merangka masa depan sukan permotoran di Malaysia,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS