Atlet karate dedikasi pingat untuk Syed Saddiq
Atlet karate negara, S Prem Kumar turut mendedikasikan kejayaannya meraih pingat gangsa Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selain rakyat Malaysia, rakan sepasukan dan anggota keluarganya.
Beliau meraih pingat gangsa dalam acara kumite bawah 60kg lelaki selepas menewaskan wakil Hong Kong, Lee Chun Ho 5-0 pada aksi penentuan pingat gangsa di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Jakarta.
Prem Kumar berkongsi pingat gangsa bersama-sama atlet Uzbekistan, Sadriddin Saymatov yang mengalahkan atlet Vietnam, Nguyen Van Hai 8-1 dalam satu lagi aksi penentuan pingat gangsa.
Acara berkenaan dimenangi atlet Indonesia, Rifki Ardiansyah Arrosyiid yang mengalahkan atlet Iran, Amir Mahdi Zadeh, 9-7 pada aksi final.
"Saya ingin mendedikasikan pingat gangsa ini kepada rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan kepada atlet negara, keluarga saya, rakan sepasukan, pengurusan pasukan karate dan tidak lupa kepada Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
"Walaupun gagal mara ke final, saya tetap berpuas hati dengan pencapaian saya kerana ini merupakan penyertaan sulung saya pada Sukan Asia," katanya ketika ditemui media Malaysia selepas perlawanan berkenaan.
Prem menjelaskan beliau terpaksa meningkatkan berat badannya kepada lebih 55kg dalam tempoh sebulan bagi menggantikan rakan sepasukan, S. Senthil Kumaran yang terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia 2018 selepas mengalami kecederaan ketika menyertai Kejohanan Karate Senior Asia ke-15 di Amman, Jordan, bulan lepas.
"Saya hanya mempunyai persiapan selama sebulan untuk meningkatkan berat melebihi 55kg bagi membolehkan saya menyertai acara ini dan saya berpuas hati kerana sudah memberikan persembahan terbaik pada hari ini" katanya.
Beliau pada masa turut menyasarkan untuk mencipta keputusan positif pada Kejohanan Kelayakan Olimpik, bulan depan bagi melayakkan diri beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Terdahulu seorang lagi wakil negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan yang juga pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Asia 2018, gagal untuk meraih pingat gangsa setelah kalah 2-3 kepada wakil Hong Kong, Wong Sok I dalam perlawanan penentuan pingat gangsa kumite bawah 55kg wanita.
Kekalahan itu menyaksikan Syakilla gagal mengulangi pencapaian pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan yang menyaksikan beliau meraih emas dalam acara kumite bawah 61kg wanita.
Persekutuan Karate Malaysia menyasarkan kutipan lima pingat untuk skuad negara pada Sukan Asia 2018.
- Bernama

