Hubungan tegang antara bintang bola sepak Mohamed Salah dan Persatuan Bolasepak Mesir atau Mesir FA berlanjutan dengan penyerang sensasi Liverpool itu mendakwa aduannya berhubung hak penajaan tidak dipedulikan.
April lalu, Salah membidas persatuan bolasepak negara kelahirannya itu kerana menggunakan gambarnya untuk promosi rasmi penaja pasukan kebangsaan Mesir, WE.
Ini kerana, jelas Salah, dia sudah mempunyai perjanjian lain dengan penajanya, Vodafone.
Namun, kata Salah, mesej dari peguamnya berhubung aduan itu sehingga kini tidak dipedulikan oleh pihak Mesir FA.
"Persatuan bolasepak selalunya akan cuba menyelesaikan masalah dengan pemainnya agar mereka rasa selesa. Tapi apa yang saya lihat adalah sebaliknya.
"Mesej daripada peguam saya tidak sepatutnya diabaikan. Saya tidak tahu kenapa semua ini berlanjutan. Adakah mereka tidak ada masa untuk menjawab mesej kami?" katanya melalui kenyataan di Twitter.
Dalam perkembangan sama, Salah juga menyalahkan Mesir FA yang sebelum ini menurutnya 'mengganggu' pemain kebangsaan Mesir dalam persiapan Piala Dunia di Rusia.
Salah mendakwa Mesir FA membawa selebriti-selebriti ke hotel tempat pemain kebangsaan Mesir menginap, sedangkan mereka perlu menumpukan perhatian pada persiapan perlawanan.
"Saya minta keselamatan semua pemain dijaga. Tapi kami banyak diberi gangguan ketika menyertai Piala Dunia di Rusia.
"Saya tidak boleh ke restoran yang sama dua kali kerana mereka kata demi keselamatan saya kerana ramai orang yang datang di hotel," katanya menceritakan dia sering diganggu oleh tetamu yang dibenarkan datang ke biliknya untuk berbual.
