Sabah terus mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Piala Malaysia 2018 apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan ke atas juara 33 kali Piala Malaysia itu menyaksikan pasukan bimbingan ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating di kedudukan teratas Kumpulan D dengan kutipan 10 mata.

Kekalahan Selangor itu mengakibatkan pasukan berkenaan tersingkir daripada saingan ke suku akhir berikutan gagal mengutip sebarang mata selepas empat perlawanan walaupun berbaki dua perlawanan peringkat kumpulan.

Selangor yang terdesak mencari kemenangan sulung bermula garang dengan melakukan serangan pantas ke pintu gawang Sabah, bagaimanapun dapat dipatahkan barisan pertahanan yang dikemudi ketua pasukan Rawilson Batuil.

Sabah turut mengatur gerakan balas dan pada minit ke-52, penyerang import dari Puerto Rico, Hector Omar Ramos yang tidak dikawal berjaya melakukan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Kealpaan benteng pertahanan Selangor sekali lagi dihukum pada minit ke-86 apabila penyerang import Sabah, Rodoljub Paunovic dari Serbia bijak mengelecek melepasi pemain pertahanan Selangor dan melakukan rembatan menewaskan Mohd Khairulazhan buat kali kedua.

Gol sagu hati Selangor diperoleh melalui sepakan penalti Rufino Segovia dari Sepanyol selepas bola terkena tangan pemain tengah Sabah, Mohd Azzizan Nordin.

Dalam aksi Kumpulan D, Pahang berada di belakang Sabah dengan mengutip lapan mata selepas empat perlawanan diikuti PKNP FC dengan empat mata dan seterusnya Selangor di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Pada saingan Kumpulan B, Felda United FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri apabila tumpas 0-1 kepada PKNS FC di Stadium Tun Abdul Razak, Pahang.

PKNS FC tidak menunggu lama untuk membalas serangan The Fighters yang dilakukan pada minit kelapan apabila berjaya membuka tirai jaringan melalui tendangan Mahalli Jasuli pada minit ke-11.

Bersambung babak kedua, Felda United cuba bangkit menyamakan kedudukan dengan melancarkan serangan ke arah kubu lawan, namun barisan pertahanan PKNS FC bijak menyerap setiap asakan tuan rumah, dengan perlawanan berakhir dengan keputusan 0-1 berpihak kepada PKNS FC.

- Bernama