Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pogba mahu kembali ke Juventus
Diterbitkan:  Sep 2, 2018 6:09 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Media melaporkan kapten pasukan Manchester United Paul Pogba sudah menyampaikan hasratnya kepada pihak pengurusan untuk meninggalkan pasukan itu seawal Januari.

Perkembangan terbaru itu dikatakan susulan hubungan keruh Pogba dengan pengurus pasukan Jose Maurinho.

Pogba sebelum ini dilapor berkata: "Jika anda tidak gembira (bermain dalam pasukan sendiri) anda tidak boleh beraksi dengan baik.

"Ada hal yang saya tidak boleh katakan kerana saya akan didenda".

Susulan itu, Pogba kini dilaporkan berminat untuk kembali menyertai kelab lamanya itu di Serie A untuk bermain bersama seorang lagi bekas pemain Red Devils, Cristiano Ronaldo.

Pemain kebangsaan Perancis itu menyertai Manchester United pada 2016 dengan bayaran perpindahan dari Juventus £89 juta (RM474.91 juta).

Pengulas Sky Sports yang juga merupakan bekas pengurus pasukan Liverpool Graeme Souness sebelum ini mengkritik sikap dan corak permainan Pogba sebagai mementingkan diri sendiri.

"Pogba hanya bermain untuk diri sendiri, dia hanya mahu dilihat bagus dan menunjuk-nunjuk kepada kita betapa pandainya dia.

"Saya rasa Pogba cuma ada di pasukan itu untuk mengekalkan nilai perpindahannya sehingga Manchester United mampu menjualnya kerana dia tidak ada sebab lain untuk layak berada di tempatnya," katanya.

Pada penghujung musim lalu, hubungan Pogba dengan Maurinho menjadi keruh kerana perbezaan pendapat dari segi taktik.

Pada musim ini, anak buah Maurinho tewas dua perlawanan dari tiga setakat ini yang meletakkan mereka di tangga ketujuh tercorot.

Lihat Komen
ADS