KBS: Peruntukan atlet, jurulatih bergantung pada KPI

       

Setiap atlet dan jurulatih akan diberikan satu sasaran Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang akan turut menjadi penentu jumlah peruntukan yang akan diterima mereka.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, KPI berkenaan membolehkan semua jelas tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan supaya berada di landasan yang betul untuk menyumbang pingat di temasya sukan besar.

“KPI ini teramatlah penting kerana terdapat sukan yang mendapat peruntukan yang besar oleh pihak penaja dan kerajaan.

“Bagi sukan-sukan ini, jika ingin terus mendapat peruntukan yang besar dan bantuan kerajaan, mereka mesti tunjukkan prestasi seperti dikata dan mereka mesti buktikan keupayaan mereka melalui KPI ini,“ katanya di sidang media pasca Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Beliau berkata KPI tersebut akan menilai prestasi atlet dan jurulatih ketika sesi latihan dan juga ketika menyertai pertandingan sama ada mereka berpotensi menyumbang pingat atau tidak.

Syed Saddiq berkata pelaksanaan KPI ke atas atlet dan jurulatih akan dilaksanakan selepas mendapat maklum balas daripada pemegang taruh pada sesi Townhall yang akan diadakan selepas Sukan Para Asia 2018 di Jakarta pada Oktober depan.

Selain itu, Syed Saddiq berkata pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah diarahkan untuk memastikan khidmat sokongan dari aspek pengurusan, sains dan perubatan sukan dipertingkatkan.

Katanya, penyelarasan peranan dan tanggungjawab kedua-dua agensi berkenaan perlu diberi keutamaan bagi memastikan atlet dan jurulatih menjadi tumpuan utama di dalam program latihan.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.