Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Sukma: Skuad bola T'ganu yakin mara tanpa 3 pemain

Skuad bola sepak Terengganu yakin mampu mara ke peringkat separuh akhir Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak 2018 biarpun tiga pemain utamanya digantung tiga perlawanan.

Jurulatih Terengganu Badrul Aszan Razali berkata, walaupun penggantungan Mohammad Rahmat Makasuf, Mohamad Shafawi Mohamad dan Muhamad Fakrul Wahid memberi kesan namun beliau telah bersedia dengan percaturan baharu.

"Ketiga-tiga pemain itu telah digantung secara automatik dan tidak beraksi semasa menentang Wilayah Persekutuan pada 12 Sept lalu dan kita telah bersedia dengan keputusan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM). Memang ada memberi kesan tapi kita sudah ada pengganti.

"Kita juga tidak memandang rendah pada keupayaan Perlis, bagi kami semua pasukan yang layak ke suku akhir hebat dan bagus namun kita akan lakukan yang terbaik," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Lumut, hari ini.

Pada aksi suku akhir malam ini Terengganu akan menentang Perlis di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di Perak.

Hari ini, Jawatankuasa Tatatertib FAM mengumumkan ketiga-tiga pemain Terengganu itu, digantung tiga perlawanan selepas didapati melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM.

Ia berikutan tindakan berkelakuan ganas dengan menumbuk dan menendang pemain pasukan Johor pada perlawanan peringkat Kumpulan B pada 10 September lalu di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim.

Selain pemain Terengganu, tiga pemain Johor turut menerima hukuman sama ialah Mohamad Hariz Kamarudin, Nur Ismail Sukandar dan Muhammad Azrul Haziq Aminuddin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS