Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, akan kembali ke Malaysia dalam masa dua minggu lagi dan bakal beraksi sebulan kemudian jika keadaan kesihatannya mengizinkan.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai, berkata rawatan bagi masalah gangguan pernafasan dialami Chong Wei dijangka selesai minggu depan.

Chong Wei menjalani rawatan itu di Taiwan.

“Dalam masa dua minggu dia akan balik Malaysia, lepas itu akan ambil sebulan cuti.

"Kalau OK dia akan berlatih semula seperti biasa, bergantung kepada nasihat doktor,” katanya selepas mesyuarat khas Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.

Jaguh badminton berusia 35 tahun itu menarik diri daripada kejohanan dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Indonesia ekoran masalah pernafasan yang dialaminya.

Sementara itu, Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Chong Wei merupakan pemain yang konsisten.

Justeru katanya ketiadaan Chong Wei dalam skuad kebangsaan sedikit menjejaskan prestasi sukan badminton negara.

Katanya, untuk memiliki pemain seperti Chong Wei, BAM memerlukan jangka masa yang panjang dan pemain perlu diasah dari peringkat akar umbi.

Calon pengarah kejurulatihan

“Dari dulu BAM sudah cakap, apa pun perancangan kita, mesti merupakan mencari pengganti Chong Wei.

"Dia selalu konsisten dalam mencapai kejayaan yang besar. Apa yang kita perlu buat hari ini adalah melihat secara keseluruhannya bagaimana nak bawa pemain kita ke tahap yang lebih tinggi.

“Bukan nak sampai tahap Chong Wei terus, kita kena buat secara berperingkat.

"Kita kena bina pemain yang bagus bermula dari awal bagi pastikan mereka ada pendedahan. Buat masa sekarang kena bergantung kepada pemain senior,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai jawatan pengarah kejurulatihan, BAM masih dalam proses menyenarai pendek calon bagi jawatan yang akan mengendalikan seluruh skuad badminton dari jurulatih hinggalah kepada pemain secara sepenuh masa.

Mohamad Norza berkata buat masa sekarang, BAM baru selesai menyedaikan terma dan syarat bagi memenuhi kehendak jawatan tersebut.

Antara calon yang berada dalam senarai pendek BAM ialah legenda badminton Indonesia, Rexy Mainaky, yang kini sedang berkhidmat selaku pengarah prestasi skuad badminton Thailand.

Rexy pernah berkhidmat bersama skuad kebangsaan selama tujuh tahun sehingga 2012 dengan menyandang jawatan sebagai ketua jurulatih beregu lelaki.

“Memang benar Rexy berada dalam senarai pendek tetapi kami masih belum berhubung dengannya bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

BAM bagaimanapun enggan mendedahkan calon lain yang turut disenarai pendek kerana menganggap ia perlu dibincangkan bersama Insitut Sukan Negara dan Majlis Sukan Negara terlebih dahulu.

- Bernama