Pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei bakal menjadi taruhan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengetuai skuad negara pada Kejohanan Remaja Dunia BWF 2018 di Markham, Ontario, Kanada dari 5 hingga 18 Nov depan.

Juara remaja dunia 2015 itu juga akan bersaing bagi memburu gelaran individu pada kejohanan berkenaan.

Selain Jin Wei, pemain yang turut tersenarai pada kejohanan itu ialah naib juara perseorangan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Aidil Sholeh Sadikin; juara Terbuka Remaja Antarabangsa Malaysia Pearly Tan-Toh Ee Wei; dan pemenang pingat gangsa Remaja Asia 2017 – Ng Tze Yong, Eoon Qi Xuan dan Chia Wei Jie.

Jurulatih remaja negara, Kwan Yoke Meng berkata Aidil Sholeh layak disenaraikan dalam skuad berkenaan kerana beliau berjaya membuktikan kemampuannya semasa ujian pemilihan dengan memenangi kesemua perlawanan dan hanya tewas sekali kepada perseorangan utama remaja negara, Ng Tze Yong.

“Bagi saya, ini adalah barisan terbaik pemain negara bawah umur 18 tahun. Saya berharap pasukan ini mampu meraih pingat pada kejohanan itu dan mengulangi pencapaian tahun lepas dengan mara ke final dalam acara berpasukan campuran.

“Bukan mahu memberi tekanan kepada Jin Wei, tetapi beliau sudah menempatkan diri bersaing dalam sirkit senior antarabangsa dan saya mengharapkan beliau dapat menyumbangkan pingat emas kepada kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada kejohanan edisi 2017, Malaysia tumpas 1-3 kepada China dalam acara berpasukan campuran yang berlangsung di Jakarta, manakala Jin Wei tersingkir di peringkat suku akhir dalam kategori individu.

- Bernama