Selepas agak lama diselubungi tanda tanya, hari ini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan salah seorang atlet terbaik negara Datuk Lee Chong Wei menghidap kanser.

Perkara itu dinyatakan Presiden BAM Datuk Seri Norza Zakaria hari ini.

Menurut Bernama Norza memberitahu Chong Wei, 35, menghidap kanser hidung dan masih di peringkat awal.

Kata Norza BAM juga berharap Chong Wei dan keluarganya diberi ruang dan ketenangan bagi menjalani proses pemulihan.

Sejak beberapa hari lalu ada mesej dan imej tular di media sosial mendakwa Chong Wei sedang menghidap kanser hidup tahap ketiga.

Bagaimanapun tidak ada sebarang pengesahan daripada mana-mana pihak mengenainya.

Menurut Norza atlet terbabit berada di Taiwan untuk menjalani rawatan dan menunjukkan maklum balas yang baik terhadap proses tersebut.

"Bagi pihak Chong Wei, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas doa dan keprihatinan mereka.

"Sokongan anda adalah sumber kekuatan dan semangatnya," katanya.

Dua bulan lalu, Chong Wei dilaporkan mengalami gangguan pernafasan dan terpaksa berehat daripada sebarang aktiviti pertandingan atau latihan.