Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Laluan getir Tok Gajah lepas seri di laman sendiri
Diterbitkan:  Sep 24, 2018 9:11 AM
Dikemaskini: 1:13 AM

Pahang bakal berdepan laluan sukar selepas hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2018 yang berlangsung di Stadium Darul Makmur di Kuantan, malam tadi.

Pada perlawanan itu, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu menguji benteng pertahanan pasukan tuan rumah menerusi percubaan Safawi Rasid, tetapi tendangannya seawal minit keempat sedikit tersasar daripada palang gol.

Namun, babak pertama perlawanan menyaksikan anak buah Dollah Salleh lebih banyak menguasai permainan dengan mengatur serangan berbahaya dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-33.

Tandukan padu penyerang Pahang Patrick Dos Santos Cruz hasil hantaran Mohamadou Sumareh di hadapan pintu gol, bagaimanapun sedikit terkeluar melepasi palang gol.

Penguasaan pasukan tuan rumah mula terganggu apabila benteng pertahanan skuad Tok Gajah berjaya dibolosi sebaik separuh masa kedua bermula.

Hasil rembatan Gonzalo Gabriel Cabrera Giordano daripada dalam kotak penalti berjaya membolosi gawang tuan rumah bagi membolehkan JDT mendahului 1-0 pada minit ke-46.

Jaringan pasukan pelawat itu, bagaimanapun tidak melunturkan semangat pemain tuan rumah yang berjaya menyamakan kedudukan pada minit akhir permainan, hasil rembatan daripada dalam kotak penalti Safuwan Baharudin.

Jaringan penyamaan itu, sedikit memberi kelegaan kepada Pahang sebagai bekalan pada aksi timbal balik di gelanggang lawan pada 29 Sept ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS