Bintang bola sepak Christiano Ronaldo terpalit kes saman oleh seorang wanita Nevada, Amerika Syarikat berkenaan kes rogol yang berlaku pada 2009 di sebuah hotel di Las Vegas.

Kathlyn Mayorga memfailkan saman itu di Nevada Khamis lalu, dan berniat membatalkan perjanjian penyelesaian bernilai AS$375,000 yang didakwanya ditandatanganinya tanpa rela, untuk menutup mulutnya.

Saman itu menuntut pampasan AS$200,000, menamakan Ronaldo dan satu kumpulan tidak dinamakan yang dilantik bagi 'menyelesaikan' kejadian tersebut, lapor Reuters.
Mayorga mendakwa dia dirogol Ronaldo ketika sedang menukar pakaian. Dia mendakwa ditarik ke satu bilik tidur biarpun dia menjerit bagi menghalang perbuatan itu.

Pihak polis Las Vegas berkata, kes yang difailkan pada malam kejadian dibuka semula bulan lepas selepas mangsa tampil dengan maklumat baru.

Berikutan laporan itu, barisan peguam Ronaldo mengancam untuk menyaman majalah Jerman, Der Spiegel yang menyiarkan pertuduhan tersebut, dan mendakwa penyiaran itu “salah di sisi undang-undang”.

Bagaimanapun, timbalan ketua pengarang Der Spiegel, Alfred Weinzierl mempertahankan laporan itu.

“Kami bekerja dengan profesional sebagai wartawan dengan bukti-bukti. Scherts mendakwa ia salah di sisi undang-undang, kami katakan ia dibenarkan bawah undang-undang media Jerman,” katanya.

Mayorga memberitahu Der Spiegel yang dia tidak lagi terikat dengan perjanjian “non-disclosure” kerana dia telah mengalami penderitaan daripada kejadian sembilan tahun lalu itu.

Sementara itu, Juventus enggan memberikan sebarang komen berkenaan isu tersebut.