Tunggakan gaji pegawai, pemain Perlis tak kunjung tiba
Pegawai serta pemain bola sepak Perlis belum menerima tunggakan bayaran gaji masing-masing walaupun FAM sudah mengarahkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berbuat demikian dengan memberi tempoh 30 hari mulai 3 Sept lalu.
Ketua jurulatih pasukan Singa Utara itu, Manja Man, berkata FAM memutuskan perkara tersebut dalam satu mesyuarat pada 3 Sept lepas.
Namun katanya sehingga kini masih belum ada sebarang bayaran dibuat kepada kesemua 37 individu berkenaan.
Kata Manja, 29 daripada mereka yang belum menerima bayaran tunggakan itu ialah pemain.
“Pemain tidak ada sumber pendapatan lain sehingga ada antara mereka yang gagal menjelaskan bayaran ansuran kenderaan menyebabkan kereta mereka ditarik pihak bank.
“Kalau diikutkan, esok tarikh akhir ditetapkan FAM untuk mereka jelaskan tunggakan gaji selama enam bulan, dan kami sangat berharap ada bayaran dibuat esok,” katanya kepada Bernama di Kangar hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub berkata selain Terengganu City yang turut mempunyai isu tunggakan gaji, PFA berdepan tuntutan tunggakan gaji paling tinggi berjumlah RM461,500.
Jika gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh ditetapkan, perkara berkenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.
- Bernama

