LIGA SUPER | Isu gaji pemain pasukan Melaka United (MU) akan diselesaikan sepenuhnya pada bulan depan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) Adly Zahari.

Adly yang juga ketua menteri Melaka berkata pihaknya telah menyelesaikan tunggakan gaji sehingga Julai dan MUSA akan menyelesaikan sepenuhnya gaji pemain bagi Ogos dan September pada bulan depan.

“Tunggakan gaji pemain sehingga Julai telah dibayar sepenuhnya dan selepas ini kita akan bayar baki dua bulan gaji tertunggak (Ogos dan September) pada November ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media mesyuarat exco Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

MU sebelum ini dipalit dengan isu tunggakan gaji pemain apabila MUSA menghadapi masalah penerimaan tajaan setelah pertukaran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Adly berkata MU tidak bercadang untuk menggugurkan khidmat mana-mana pemain importnya pada musim depan walaupun pasukan tersebut berdepan masalah kewangan.

Beliau berkata khidmat pemain import masih diperlukan bagi mengekalkan prestasi MU supaya kekal dalam Liga Super pada musim depan.

Katanya MUSA akan menyusun semula strukturnya pada bagi mengimbangi semua faktor termasuk kemampuan dari segi kewangan.

“Kami akan memperhebatkan lagi pembangunan di peringkat akar umbi dengan menyediakan program pembangunan seawal peringkat sekolah rendah bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti pada masa hadapan,” katanya.

- Bernama