SUKAN PARA ASIA | Personaliti TV, Ras Adiba Radzi, yang menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Para Asia 2018 bagi acara menembak, yakin mampu melakukan yang terbaik dalam penyertaan pertamanya itu.
Ras Adiba, 50, yang menyertai acara raifal 10 meter berharap dapat menyumbangkan pingat untuk negara, selain mengintai peluang beraksi di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.
"Banyak jenis sukan saya sertai sebelum ini tapi saya mula fokus latihan sukan menembak sejak dua tahun lepas melalui program Majlis Sukan Negara dan berjaya melepasi mata kelayakan minimum untuk penyertaan ke Sukan Para Asia," katanya.
Ras Adiba ditemui pada majlis sambutan rasmi kontinjen-kontinjen yang menyertai sukan itu di Perkampungan Sukan Kemayoran, Jakarta.
Personaliti popular TV itu terbabit kemalangan pada 1996 sehingga terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang dan disahkan lumpuh separuh badan pada Julai 2002.
Malaysia menghantar 110 atlet lelaki dan 29 wanita yang akan menyertai 15 daripada 18 sukan dipertandingkan pada temasya itu.
Kontinjen negara menyasarakan 15 pingat emas bagi menyamai rekod Sukan Para Asia di Incheon Korea Selatan empat tahun lalu.
Sukan Para Asia kali ini akan berlangsung mulai esok hingga 13 Okt depan menawarkan 568 pingat emas itu disertai 39 negara.
Sukan Para Asia diadakan selepas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, yang berlangsung 18 Ogos sehingga 2 Sept lepas.
- Bernama
