LIGA EUROPA | Jika melihat kepada perlawanan awal pagi tadi, mungkin ramai penyokong Liverpool berasa benar-benar lega apabila Loris Karius tidak diberi kepercayaan menjaga gawang kelab itu lagi - sekurang-kurangnya pada musim ini.
Penjaga gol dari Jerman itu sekali lagi menjadi perbualan ramai dan malangnya untuk sebab yang tidak membanggakan.
Bertemu kelab dari Sweden, Malmo, Karius melakukan kesilapan sehingga menyebabkan pasukan lawan menjaringkan gol pendahuluan belum pun 10 minit separuh masa kedua bermula.
Kini dipinjamkan ke kelab Besiktas, Karius menunjukkan cemerkapnya apabila gagal menolak keluar bola tendangan lambung pemain pertahanan Malmo, Andreas Vindheim, yang turut terbias selepas terkena badan Caner Erkin.
Kegagalan Karius membaca gerakan bola itu dengan betul meletakkan Malmo berada di depan dengan satu gol.
Nasib malang Besiktas dalam perlawanan itu termeterai dengan tendangan penalti Markus Rosenberg pada minit ke-76.

Untuk rekod perlawanan itu adalah kemunculan kedua Karius di peringkat Eropah sejak Mei lalu. Ketika itu dia menyumbangkan 'kepakarannya' menjadi kubu terakhir Liverpool semasa menghadapi Real Madrid.
Karius berharap perpindahan ke Super Lig di Turki akan mengubah nasib malangnya dan memperbaiki reputasi selepas jelas cuai sehingga memadamkan harapan Liverpool menjulang Piala Juara-juara sekali lagi.
Besiktas membelanjakan £2.25 juta sebagai bayaran meminjam Karius daripada Liverpool pada Ogos lalu. Jika The Reds bersetuju untuk melepaskan Karius terus, Besiktas perlu membayar tambahan £7.25 juta lagi.
Besiktas kini berada di kedudukan ketiga kumpulan I Liga Europa di belakang kelab dari Norway, Sarpsborg 08 dan Genk (Jerman). Di belakang Besiktas ialah Malmo.
