Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Kecacatan Akademi Mokhtar Dahari tanggungjawab JKR, kontraktor'

Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor yang terlibat bertanggungjawab atas kepincangan yang berlaku pada Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Perkara itu dinyatakan Khairy selepas penggantinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melawat pusat pembangunan bakat muda bola sepak itu di Gambang, Kuantan semalam.

Dalam lawatan tersebut Syed Saddiq mendapati banyak masalah yang dialami di pusat kemudahan bernilai RM85 juta itu, termasuk membabitkan kemudahan latian dan peralatan.

Ditanya siapa yang sepatutnya bertanggungjawab atas masalah di AMD, Khairy menyerahkan itu itu kepada JKR dan kontraktor yang diberi tender menyiapkan pusat terbabit.

“Perlu dilihat kepada dua pihak iaitu kontraktor and agensi pelaksana, iaitu JKR,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis pembukaan gimnasium kanak-kanak We Rock The Spectrum di We Rock The Spectrum di Petaling Jaya hari ini.

Semasa masih menjadi menteri Khairy berkata beliau pernah memeriksa kemudahan di AMD itu beberapa kali dan turut menyatakan kebimbangan sama seperti dibangkitkan Syed Saddiq semalam.

"Sebenarnya banyak perkara yang dibangkitkan (Syed Saddiq) sudah saya pertikaikan lebih awal, kenapa dalam tempoh masa tiga bulan perkara ini tidak dibawa kepada perhatian menteri?

“Sebab ada banyak perkara yang saya sudah lihat sendiri.

"Apabila saya buat lawatan ke AMD saya sudah minta JKR dan kontraktor memperbaiki perkara tersebut seperti keadaan padang dan sebagainya.

“Namun demikian berdasarkan laporan semalam, ada perkara tak dapat diselesaikan dan kenapa tak disampaikan pada menteri, terpaksa tunggu menteri buat lawatan baru diberitahu menteri keadaan sebenar,” katanya.

Khairy turut mengakui sebelum ini beliau telah melantik kontraktor melalui rundingan langsung kerana mereka adalah pihak yang sama melaksanakan pembangunan fasa pertama akademi itu.

Katanya fasa pertama pembangunan AMD dibuat sebelum beliau dilantik menjadi menteri belia dan sukan.

Bagaimanapun Khairy menambah kecacatan dan kerosakan dalam projek kerajaan adalah perkara "biasa" dan mempunyai tempoh tertentu untuk ditanggung pemaju atau kontraktor.

"Kecacatan dalam projek kerajaan adalah perkara biasa, itu sebabnya kamu mempunyai tempoh liabiliti kecacatan.

"Jika kamu kesan ada apa-apa kecacatan (dalam tempoh tertentu), mereka sepatutnya membetulkan kecacatan tanpa kos kepada kerajaan," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan Syed Saddiq akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairy berkata beliau sentiasa terbuka untuk disiasat.

"Saya fikir teruskan, saya terbuka dalam hal ini.

"Saya tidak ada apa-apa (kepentingan) dalam hal ini. Saya cuma bertanggungjawab untuk dapatkan peruntukan dan memastikan projek ini diteruskan.

“Sekiranya berlaku kepincangan atau disyaki berlaku apa-apa ketirisan boleh dilaporkan kepada sesiapa pun. Saya tak ada masalah,” katanya.

Lihat Komen
ADS