Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sukan Para Asia: Atlet Malaysia raih 2 lagi emas

Atlet para Malaysia terus membuktikan kesungguhan mereka untuk mencapai sasaran 15 pingat emas apabila meraih dua lagi emas pada hari ke-5 temasya itu hari ini.

Setakat 6 petang ini, Malaysia meraih emas dalam acara ping pong selepas beregu kategori TT8-9, Chee Chao Ming dan Ting Ing Hock menewaskan gandingan Indonesia, Prahasta Mohamad Rian dan Kusnanto Kusnanto 11-7, 8-11, 11-6 pada perlawanan akhir.

Jaguh paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Puzi pula meraih emas bagi acara 400m T36 dengan mencatatkan masa 59.36 saat.

Setakat 6 petang ini (waktu Indonesia Barat), Malaysia memungut sembilan pingat emas, 10 perak dan 16 gangsa.

Malaysia menyasarkan 15 pingat emas, menyamai pencapaian di Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Sukan Para Asia itu dirasmikan Presiden Indonesia Joko Widodo pada 6 Okt dan akan berlangsung sehingga 13 Okt ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS