Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
MB: Sokong penuh agenda pembaharuan cuba dilaksana presiden FAS
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 6:36 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Kerajaan negeri Selangor menyambut baik dan menyokong penuh usaha serta agenda pembaharuan yang cuba dilaksanakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Tengku Amir Shah sejak baginda memegang tampuk pentadbiran persatuan itu.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata sokongan dan komitmen kerajaan negeri telah dizahirkan dalam pelbagai aspek, antaranya melalui suntikan dana berjumlah RM5 juta bagi menyelesaikan beberapa tunggakan pentadbiran FAS sebelum ini.

“Sokongan yang dizahirkan oleh kerajaan negeri kepada FAS adalah atas keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan Raja Muda Selangor sebagai Presiden FAS, serta harapan peminat bola sepak Selangor yang mahukan FAS berjaya.

“Pertelingkahan dan perpecahan hanya akan membawa kesan negatif kepada FAS seterusnya akan mengakibatkan hilang kepercayaan daripada peminat bola sepak Selangor dan sokongan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya yakin dan percaya dengan agenda pembaharuan yang dibawa oleh Raja Muda Selangor akan dapat mengembalikan era kegemilangan pasukan bola sepak Merah Kuning. Perlu diingat bahawa agenda ini tidak akan membuahkan hasil sekelip mata sebaliknya memerlukan masa dan sokongan semua pihak untuk direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sehubungan itu, menteri besar menyeru kepada anggota-anggota Exco FAS dan kelab-kelab gabungan serta persatuan yang bernaung di bawah persatuan itu supaya dapat memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah-bahagi kepada kepimpinan Raja Muda Selangor selaku presiden FAS.

Katanya, beliau percaya jika aspek musyawarah dan perbincangan dikekalkan, beberapa salah faham yang timbul dapat dirungkaikan demi masa depan bola sepak Selangor.

“Kerajaan Negeri Selangor berharap agar semua pihak yang terlibat dapat mengetepikan perbezaan dan agenda individu untuk memastikan fokus diberikan kepada persediaan pasukan bola sepak Selangor terutama menjelang pra musim 2019.

“Muafakat yang utuh dalam FAS adalah kunci bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Merah Kuning yang diidamkan oleh semua pihak terutamanya penyokong setia The Red Giants,” katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan hari ini, Tengku Amir Shah bertitah bahawa baginda tidak bersetuju dengan tuntutan ahli gabungan FAS supaya diadakan Kongres Luar Biasa (EGM) bagi melantik keseluruhan Exco yang baharu termasuk jawatan presiden.

Titah baginda, perubahan yang sedang rancak lakukan termasuk menutup peluang melakukan ketirisan serta merombak jawatankuasa kecil yang tidak efektif dan menyoal perkara-perkara yang terdapat kesangsian, telah membuat beberapa individu dalam persatuan itu merasa tidak selesa.

"Kita hendak maju gerak ke hadapan, tetapi mereka seringkali menarik kita ke belakang semula. Beta sangat terkilan kerana masa ini patut digunakan untuk meneliti dan merancang untuk persiapan musim tahun hadapan, termasuk mencari penaja bagi menambah dana persatuan,” titah baginda yang dilantik sebagai presiden FAS yang baharu pada 3 Julai lepas.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS