Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pemuda PAS nafi beri tiket percuma final Piala Malaysia
Diterbitkan:  Oct 21, 2018 4:01 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Pemuda PAS Terengganu menafikan satu kenyataan yang tersebar di applikasi Whatsapp pagi ini kononnya kerajaan negeri akan menyediakan sebuah bas dan tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia, pada 27 Okt.

Ketua Pemuda Pas Terengganu, Kamaruzaman Abdullah berkata, kenyataan itu yang memetik nama beliau adalah tidak benar sama sekali memandangkan mesyuarat berkaitan perkara tersebut hanya akan berlangsung esok.

"Esok baru ada mesyuarat berkaitan penjualan dan pengurusan tiket ini, bagaimana kenyataan (palsu) ini boleh tersebar di whatsapp. Ini adalah satu perbuatan yang sangat tidak beradab,”katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Dalam kenyataan palsu itu, Kamaruzaman dipetik sebagai berkata Pemuda PAS Terengganu menyambut baik inisiatif Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk membawa penyokong Skuad Penyu ke Bukit Jalil.

Kenyataan palsu itu juga menyebut Dewan Pemuda PAS di semua Kawasan dan Majlis Tindakan DUN (MTD) di Terengganu sedia bekerjasama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) bagi menjayakan hasrat itu.

Skuad Terengganu sah ke final Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan dengan agregat 3-2 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua kejohanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS