Meneruskan rekod tanpa kalah untuk kali ke-10 berturut-turut, ada satu perkataan yang dirasakan tepat untuk menggambarkan prestasi Arsenal pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Seksi.
Itu diungkapkan pemain tengah The Gunners, Mesut Ozil, selepas skuad itu menundukkan Leicester City 3-1 dalam perlawanan kesembilan mereka di Stadium Emirates.
Kemenangan itu membawa Arsenal - yang kini dikendalikan Unay Emery - berada di kedudukan keempat liga dengan dibezakan hanya dua mata berbanding pendahulu, Manchester City.
"Saya fikir kami bermain dengan agak seksi malam ini. Bangga dengan kapten dan pemain kelab ini," katanya selepas perlawanan berakhir.
Tidak cukup dengan itu, beberapa jam kemudian Ozil memuat naik gambar dia sujud di padang selepas menjaringkan gol pertama Arsenal beberapa minit sebelum waktu rehat.
Gambar itu dilengkapi dengan ungkapan kesyukuran, alhamdulillah.
Sebelum itu Arsenal ketinggalan 0-1 akibat kegagalan Hector Bellerin menampan bola tolakan pemain Leicester dengan kemas sehingga menggegarkan gawang sendiri.
Dua lagi gol Arsenal disumbangkan oleh pemain antarabangsa Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-63 dan 66.
Ozil seorang daripada beberapa pemain beragama Islam yang menonjol dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan menunjukkan aksi yang dipuji ramai di atas padang.
Pemain Muslim lain yang turut menjadi perhatian ketika ini ialah Mohamad Salah dan Sadio Mane. Kedua-dua mereka bermain untuk kelab Liverpool.
Sementara itu tidak semua orang memandang positif prestasi ditunjukkan Arsenal.
Bekas pemain kebangsaan England dan Manchester City, Stuart Pearce, berpendapat The Gunners bernasib baik kerana susunan perlawanan secara kebetulan memihak kepada mereka.
Katanya jika Leicester memanfaatkan penguasaan mereka pada separuh masa pertama keputusan akhir mungkin berbeza daripada apa yang berlaku.
"Saya rasa jadual perlawanan begitu baik setakat ini.
"Keadaan akan berubah apabila mereka berdepan dengan pasukan lebih kuat," katanya.