Menjelang pertemuan Final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini, Perak mengakui Terengganu bukan lawan mudah kerana skuad Penyu itu dibarisi ramai pemain yang cemerlang.

Namun, pengendali Perak, Mehmet Durakovic berkata itu tidak bermakna anak buahnya akan memberi laluan mudah.

“Ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik,” janjinya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan skuad The Bos Gaurus di Stadium Perak, di Ipoh hari ini.

Mengulas mengenai tahap kecergasan anak buahnya, Mehmet berkata beliau memberi tumpuan kepada pemulihan pemain yang telah mengharungi musim meletihkan tahun ini.

Beliau juga berharap beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan kembali ke tahap kecergasan sebenar apabila bertemu Terengganu nanti dalam usaha membawa pulang Piala Malaysia ke Perak yang dimenangi kali terakhir 18 tahun lalu selepas menundukkan Negeri Sembilan.

Sementara itu, kapten Perak, Shahrul Mohd Saad berkata beliau akan memastikan kubu The Bos Gaurus tidak dibolosi oleh skuad Penyu.

"Terengganu mempunyai jentera serangan yang kuat, tapi kami akan kekang sebaiknya kerana kami (barisan pertahanan) mempunyai keserasian yang baik," kata tonggak pertahanan Perak itu.

Perak mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menang dengan agregat 7-2 ke atas Sabah.

Kali terakhir Perak bertemu Terengganu di pentas final Piala Malaysia ialah pada 1998 yang menyaksikan skuad The Bos Gaurus muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti.

- Bernama