Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Trofi Juara-juara Asia: Malaysia ikat juara bertahan
Diterbitkan:  Oct 24, 2018 4:25 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Malaysia mempertahankan rekod tanpa kalahnya dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia 2018 apabila mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan juara bertahan Asia, India pada perlawanan keempat kejohanan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat, Oman, awal pagi Rabu waktu Malaysia.

Keputusan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan dengan India kekal di tangga teratas mendahului Malaysia berikutan perbezaan gol.

Kedua-dua pasukan yang sudah layak ke separuh akhir itu berkongsi 10 mata dengan tiga kemenangan dan satu seri.

Pada pertemuan awal pagi tadi, India mengawal permainan dari awal dengan melancarkan serangan yang berterusan ke kubu Malaysia serta hampir-hampir membolosi gawang negara pada minit ke-9 selepas pengadil memberikan pukulan sudut penalti, namun penjaga gol Malaysia Muhammad Hairi Abd Rahman berjaya menepis keluar kuisan pemain India itu.

Pada minit akhir babak pertama perlawanan, India sekali lagi hampir memecahkan kebuntuan namun pukulan Mandeep Singh tersasar melepasi gawang gol sekalipun hanya berdepan Muhammad Hairi.

Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan saling mengasak namun tetap gagal membolosi kubu lawan sehingga tamat perlawanan.

Ketua jurulatih skuad lelaki negara Roelant Oltmans gembira dengan keputusan itu namun mengakui anak buahnya tidak banyak menguasai permainan.

“Saya bangga dengan prestasi pasukan khususnya bahagian pertahanan kerana pemain bekerja keras, berdisiplin serta langsung tidak memberi ruang untuk India menjaringkan gol.

“Perkara pertama yang perlu sekarang ialah berehat, menghilangkan keletihan selepas mengharungi dua perlawanan berturut-turut dan selepas itu saya mahu lihat penguasaan permainan yang lebih baik dalam pertemuan akan datang,” kata jurulatih dari Belanda berusia 64 tahun itu.

Malaysia akan menamatkan saingan awal menentang Pakistan pada Khamis (waktu tempatan).

- Bernama

Lihat Komen
ADS