Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
SU PAS kembali ke 'padang bola'
Diterbitkan:  Oct 25, 2018 9:42 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Selepas gagal mempertahankan jawatan sebagai naib presiden FAM tahun lalu, Datuk Takiyuddin Hassan kini kembali ke 'padang bola'.

Setiausaha agung PAS itu kini menjadi naib presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkuat kuasa serta-merta.

KAFA dalam kenyataan berkata, pelantikan itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa kali keempat hari ini.

"Pelantikan baru ini bagi mengisi kekosongan sedia ada dan KAFA mengucapkan sekalung penghargaan kepada beliau atas kesudian menerima tawaran jawatan dalam badan induk ini.

"Semoga pengalaman dan pengetahuan luas Takiyuddin dalam arena bola sepak dapat memperkuatkan persatuan, khususnya Kelantan FA di masa akan datang," kata KAFA yang kini dikemudi Bibi Ramjani Ilias Khan sebagai presiden.

Takiyuddin sememangnya seorang yang berpengalaman dalam sukan bola sepak apabila mula menjadi exco FAM pada 1997.

Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan jawatan sebagai naib presiden badan induk bola sepak negara itu - yang dipegang sejak 2014 - dalam Kongres FAM ke-53 tahun lalu.

KAFA berkata pelantikan itu sah dan tidak melanggar peraturan kerana dipersetujui ahli gabungan yang memberi kuasa pelantikan kepada presiden dan jawatankuasa pada kongres yang lalu.

"Tempoh pelantikan Takiyuddin dipersetujui sehingga 2021," kata KAFA lagi.

Lihat Komen
ADS