Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
FAM nilai prestasi pengadil final Piala Malaysia
Diterbitkan:  Oct 28, 2018 9:24 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Antara menjadi perhatian - walau mungkin tak sepatutnya - ketika perlawanan akhir Piala Malaysia semalam adalah keputusan-keputusan pengadil yang menimbulkan persoalan dan kemarahan ramai.

Dan sentimen itu nampaknya turut dikongsi badan induk bola sepak negara FAM.

Pengadil Suresh Jayamaran dilaporkan berkemungkinan digantung atau diturunkan ke pertandingan yang lebih rendah.

Menurut laporan New Straits Times hari ini, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata prestasi Suresh akan dinilai dan laporan akan dihantar ke jawatankuasa pengadil untuk tindakan lanjut.

"Kami akan adakan inkuiri dalaman selepas menerima laporan penilai untuk perlawanan akhir. Kemudian kita akan hantar laporan kepada jawatankuasa pengadil. Pandangan sekretariat akan dimaklumkan kepada jawatankuasa.

"Ketua jawatankuasa Subkhiddin Salleh akan mengkajinya dan menilai prestasi Suresh melalui rakaman perlawanan penuh sebelum membuat keputusan daripada post-mortem," katanya seperti dipetik.

Antara kritikan orang ramai terhadap Suresh adalah kegagalannya mengawal perlawanan terutama ketika keadaan tegang antara pemain Terengganu dan Perak.

Selain itu, beberapa keputusannya, seperti membatalkan dua gol Perak dan melayangkan kad merah kepada seorang pemain Perak dan Terengganu turut dipertikaikan.

Sementara itu, Subkhiddin mempertahankan keputusan meletakkan Suresh untuk mengadili perlawanan yang paling menjadi perhatian dalam suka bola sepak tempatan itu.

Menurut Harian Metro, Subkhiddin berkata beliau mempunyai kemampuan untuk mengendalikan perlawanan itu, seperti yang ditunjukkan dalam banyak perlawanan sebelumnya.

“Pilihan lebih kepada Suresh selepas saya mendapati dia memberikan komitmen yang tinggi dan mempunyai sikap untuk bersaing secara sihat untuk memajukan dirinya.

"Ini adalah sekian lama selepas beberapa tahun kita tidak mempunyai keterampilan seseorang pengadil berbangsa India di pentas final," katanya sambil menambah Suresh mempunyai pengalaman dua tahun di Liga Super selepas dinaikkan daripada Liga Perdana.

Lihat Komen
ADS