MFL wujudkan badan pengadilan bebas musim depan
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan akan mewujudkan badan pengadilan bebas bermula musim depan bagi mempertingkatkan standard pengadilan dalam liga Malaysia.
Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi MFL, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya hari ini.
Menurutnya, pengadil tempatan dan pengadil asing termasuk dari Jepun, England dan beberapa negara lain adalah antara yang turut terlibat dalam badan pengadilan berkenaan.
"FAM juga sepakat untuk memulakannya menjelang musim depan, kami akan menghantar 25 pengadil baru ke Jepun untuk meningkatkan kualiti pengadilan.
"Pengadil tempatan dan pengadil asing akan bekerjasama selain perancangan juga sedang dilakukan untuk mengadakan kursus pengadil oleh bekas pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL)," katanya.
Tunku Ismail, dalam catatan akaun Twitter rasminya, baru-baru ini, membidas mutu pengadilan Suresh Jayaraman semasa mengendalikan perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Terengganu FC dan Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu lepas.
Bekas presiden FAM itu berkata MFL pernah menyatakan hasrat untuk membawa pengadil dari luar negara untuk perlawanan penting tetapi tidak dipersetujui Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Salleh, yang mendakwa tindakan itu seolah-olah memperkecilkan bakat pengadil tempatan.
- Bernama

