Conte letak syarat sebelum sanggup ke Santiago Bernabeu
Real Madrid mungkin makin terdesak untuk memulihkan semangat dan sokongan ramai selepas Julen Lopetegui dipecat ekoran ego yang dirobek Barcelona pada Ahad lalu.
Hajat di hati skuad Los Blancos mahu mengikat Antonio Conte sebagai ganti. Sementelah pula rekod Conte di peringkat antarabangsa memang baik.
Namun impian itu belum tercapai. Semuanya gara-gara tuntutan Conte terhadap kelab gergasi dan serba mewah itu jika mereka memang mahukan khidmatnya.
Akhbar Sepanyol melaporkan Conte, 49, meletakkan syarat supaya Real Madrid membawa masuk dua pemain yang terbaik untuk mengisi posisi bahagian pertahanan tengah, dan juga penyerang yang mampu berdikari.
Langkah berkenaan memang bukan luar biasa kerana bekas pemain kebangsaan Itali itu memang menggemari formasi pemain yang mengutamakan peranan di dua posisi tersebut.
Malah formasi itulah yang membawa kejayaan kepada Juventus dan Chelsea ketika kedua-dua kelab itu berada di bawah jagaannya.
Namun menurut akhbar tersebut syarat yang diletakkan Conte belum dapat dipenuhi Real Madrid, namun itu bukanlah bermakna Los Blancos sudah mengetepikan sama sekali nama pengurus berkenaan.
Buat masa ini nasib Real Madrid dilakar jurulatih skuad simpanan kelab itu, Santiago Solari.
Lopetegui dipecat daripada jawatannya selepas Real Madrid terkulai 1-5 di tangan seteru utama mereka, Barcelona.
Pada perlawanan itu pemain antarabangsa Uruguay, Luis Suarez, menjaringkan tiga gol, manakala selebihnya disumbangkan oleh Philippe Coutinho dan Arturo Vidal.
Gol saguhati Real Madrid pula dijaringkan oleh Marcelo Vieira.

