Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Boling padang: Atlet wanita negara mara ke final juara dunia
Diterbitkan:  Nov 3, 2018 6:39 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Atlet boling padang wanita negara, Nurul Alyani Jamil mencipta kejutan apabila menewaskan pemain terkemuka Scotland, Dee Hoogan untuk mara ke final Kejohanan Juara-Juara Perseorangan Dunia 2018 di Sydney, Australia hari ini.

Nurul Alyani, 25, mempamerkan aksi cemerlang pada penampilan pertamanya di pentas antarabangsa itu dengan mengetepikan pencabarnya 2-0 menerusi kemenangan set pertama 10-3 dan 8-5 pada set kedua di separuh akhir kategori perseorangan wanita.

Nurul Alyani berkata beliau tidak menyangka dapat mara sehingga ke final pada kejohanan berprestij itu kerana mengakui pesaingnya merupakan barisan pemain terbaik dunia dan berpengalaman.

“Perlawanan separuh akhir itu sangat mendebarkan...ini penampilan pertama saya mewakili negara di kejohanan antarabangsa. Seperti kita tahu, Scotland adalah pasukan terbaik dunia dalam sukan boling padang.

“Saya hanya fikir mahu mempamerkan prestasi cemerlang untuk negara. Pencabar saya itu pemain hebat. Saya hanya kekal tenang dan fokus untuk mengekalkan rentak permainan dan memenangi perlawanan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dijadual menentang Jo Edwards dari New Zealand di pentas final pada 11 pagi waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia), esok.

Beliau berkata kemenangan itu menyuntik semangatnya untuk membawa​​​​​​​ pulang pingat emas buat negara, yang sebelum ini pernah dimenangi pemain kebangsaan Emma Firyana Saroji pada 2015.

“Seminggu sebelum kejohanan ini berlangsung saya memenangi dua pingat emas di Kejohanan Bawah 25 tahun (B-25) Asia di Henan, China dalam acara perseorangan wanita dan beregu campuran,” katanya yang baru tiga tahun menyertai skuad kebangsaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS