Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Peletakan jawatan Subkhiddin dibincang bulan ini
Diterbitkan:  Nov 6, 2018 3:57 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

FAM akan membincangkan keputusan mengejut Subkhiddin Salleh meletak semua jawatannya dalam badan induk itu apabila exco bermesyuarat hujung bulan ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam memaklumkan badan induk itu sudah menerima surat peletakan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM itu semalam, namun tidak bermakna mereka menerima keputusan tersebut.

"Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) serta barisan exco turut kecewa dengan keputusan Subkhiddin tetapi penerimaan surat tidak bermakna kita terima peletakan jawatan beliau dan sehingga kini, beliau masih lagi exco FAM.

"Terpulang kepada exco menentukan keputusan peletakan jawatan beliau pada mesyuarat exco itu nanti," kata Ramalingam ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ramalingam berkata beliau telah berjumpa dengan Subkhiddin semalam yang meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir netizen yang mengecam beliau di laman sosial susulan pengadilan lemah Suresh Jayaraman pada aksi final Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu FC pada 27 Okt lalu.

Semalam, Subkhiddin mengambil keputusan mengejut dengan melepaskan semua jawatan dalam FAM selepas dikatakan tidak tahan dengan komen negatif netizen terhadap anggota keluarganya di laman sosial.

Jayaraman membuat beberapa keputusan kontroversi termasuk membatalkan dua gol Perak pada aksi final Piala Malaysia yang dikatakan sebagai jaringan sah.

Perak muncul juara Piala Malaysia 2018 setelah mengatasi Terengganu 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti. Kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi penuh perlawanan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS