Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
30 petinju patuh syariah Muay Thai amatur siap bertarung

Seramai 30 petinju amatur Muay Thai akan berentap dalam kejohanan 'Fight Night' anjuran Bard Gym, Kota Bharu, pada 14 Dis depan.

Kejohanan sulung itu difokuskan kepada bakat baru yang belum pernah menyertai mana-mana pertandingan dan mereka akan dihimpunkan di satu lokasi.

Pengarah Urusan Bard Gym, Mohd Badrul Insan Kauzi, berkata peserta terdiri daripada petinju amatur yang menganggotai beberapa kelab di Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Katanya kejohanan itu merupakan platfom terbaik buat petinju amatur untuk menimba pengalaman baru dalam dunia peraturangan sebenar.

Katanya, apa yang mengujakan pertandingan itu didaftarkan di bawah Persatuan Muay Thai Malaysia sekaligus memberikan prestij kepada para petinju.

"Kemenangan yang mereka lakarkan pada kejohanan ini akan dikira sebagai rekod," katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Menurut Mohd Badrul kejohanan berkenaan dianjurkan untuk memberi ruang kepada petinju untuk mengembangkan bakat mereka dalam sukan Muay Thai.

Katanya para peserta yang menyertai kejohanan Fight Night akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan kecederaan.

Malah menurutnya, peserta turut diharamkan menggunakan teknik sikuan seperti yang lazim digunakan oleh petinju profesional.

"Peserta yang menyertai kejohanan ini akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan kecederaan selain elemen patuh syariah turut dititik beratkan," jelasnya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan Mohd Badrul berkata Bard Gym akan menganjurkan kem Muay Thai bermula 1 Disember depan.

Katanya, kursus berkenaan dibahagian kepada dua kategori iaitu 9 hingga 13 tahun dan 14 hingga 17 tahun.

Lihat Komen
ADS