Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
K'jaan Perak tak akan campur tangan pemilihan presiden baru PAFA
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 3:24 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam urusan pemilihan calon Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang baharu bagi menggantikan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang meletakkan jawatannya semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How berkata ini kerana pendirian kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mencampuri hal ehwal dalaman mana-mana persatuan sukan.

"Saya ingin tegaskan hal persatuan adalah hak persatuan serta anggota dan AJK (anggota jawatankuasa) persatuan dan kerajaan negeri tidak akan sekali-kali masuk campur.

"Inilah pendirian kerajaan Persekutuan, mahu pun kerajaan negeri memberi 'kemerdekaan' kepada penggiat-penggiat bola sepak untuk membuat keputusan tanpa campur tangan daripada pihak pentadbiran kerajaan," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Dalam pada itu, Lee turut memuji tindakan Hasnul yang meletakkan jawatan atas rasa tanggungjawab susulan daripada aksi dan tindakannya yang dianggap keterlaluan dalam meraikan kejayaan bersama Piala Malaysia yang dimenangi pasukan ‘The Bos Gaurus’.

"Saya menyambut baik keputusan Hasnul (meletakkan jawatan) yang saya rasa adalah sesuatu amat bijak dan ini keputusan yang diputuskan oleh beliau sendiri," katanya.

Semalam, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali kedua PAFA, Hasnul mengumumkan perletakan jawatan sebagai presiden PAFA berkuatkuasa serta merta selepas memegang tampuk pentadbiran badan induk itu sejak 21 Julai lalu.

Hasnul berkata perletakan jawatan itu dibuat atas kerelaan dirinya selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya politik dan tugas selaku Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri telah dikritik hebat para penyokong bola sepak tempatan untuk meletakkan jawatannya kerana telah memuat naik gambarnya bersama Piala Malaysia yang diletakkan di celah kangkang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS