Krisis dalaman FAS: Tengku Amir tak iktiraf EGM

   

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mengiktiraf sebarang keputusan dan pemilihan jawatankuasa baharu pada Kongres Luar Biasa (EGM) badan induk itu semalam.

Beliau berkata perjumpaan tersebut di sebuah hotel di Seri Kembangan, dekat Shah Alam, adalah tidak sah dan terbatal kerana tidak mengikut prosedur serta gagal memenuhi Artikel 30 Statut FAS.

Berikutan itu, Tengku Amir, yang juga Raja Muda Selangor, berkata beberapa memo sudah diedarkan oleh Sekretariat Agung FAS yang mempertikaikan kesahihan perjumpaan berkenaan.

“Beta sekali lagi ingin menekankan bahawa perjumpaan itu tidak sah, tidak mengikuti prosedur yang betul dan juga tidak diiktiraf oleh beta dan juga persatuan,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam hari ini.

Selain itu, beliau mendakwa kumpulan yang menganjurkan EGM itu gagal menunjukkan sebarang bukti kepada Pesuruhjaya Sukan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa mereka mempunyai korum yang cukup untuk mengadakan kongres tersebut.

Tengku Amir berkata FAS telah mengadakan beberapa mesyuarat dan berbincang dengan Pesuruhjaya Sukan dan FAM selain telah memberi bukti mengapa perjumpaan itu tidak sah.

Susulan itu, katanya, beliau menolak selain tidak mengiktiraf sebarang keputusan serta Jawatankuasa FAS baharu termasuk pelantikan beliau sebagai presiden pada kongres berkenaan.

Kongres tersebut menyaksikan semua jawatan termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan 13 anggota exco FAS menang tanpa bertanding bagi penggal 2017-2021.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.