Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Lagi imbuhan buat skuad The Bos Gaurus
Diterbitkan:  Nov 11, 2018 8:11 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Pemain serta pegawai pasukan bola sepak Perak bakal menerima insentif berupa wang tunai RM10,000 dan satu lot tapak rumah setiap seorang sebagai ganjaran memenangi Piala Malaysia pada 27 Okt lepas.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata habuan tersebut tidak termasuk insentif yang akan diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

“Lokasi lot tanah tersebut perlu dirujuk kepada Pegarah Tanah dan Galian negeri manakala insentif (RM10,000) kepada pasukan The Bos Gaurus itu akan diberikan dalam masa terdekat.

“Insentif daripada Pafa pula saya tidak begitu pasti, tetapi saya percaya wang yang dimenangi selepas menjulang Piala Malaysia itu akan diberikan kepada pemain,” katanya kepada pemberita pada program Larian Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Dataran Pavilion di Kuala Kangsar hari ini.

Skuad Perak di bawah bimbingan jurulatih Mehmet Durakovic menamatkan kemarau Piala Malaysia selama 18 tahun apabila muncul juara selepas menewaskan Terengganu FC 4-1 menerusi penentuan penalti dalam aksi final di Stadium Shah Alam, Selangor.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri juga bercadang memberi insentif kepada pasukan hoki Perak selepas mengekalkan kejuaraan divisyen satu Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak.

“Kerajaan negeri juga perlu memikirkan insentif kepada pemain hoki negeri, namun saya belum dapat buat pengumuman hari ini kerana perkara itu belum dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri,” katanya.

Perak mempertahankan gelaran juara pada Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak selepas menewaskan Terengganu 3-1 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pada 3 Nov lalu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS