Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Taktik menjadi, Laos 'hanyut' di Bukit Jalil
Diterbitkan:  Nov 13, 2018 9:40 AM
Dikemaskini: 1:40 AM

PIALA AFF | Kemenangan kedua skuad Harimau Malaya dalam saingan Kumpulan A Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki 2018 melonjakkan semangat barisan anak buah Tan Cheng Hoe sebelum mereka bertandang ke Hanoi, Vietnam Rabu ini.

Cheng Hoe berkata kejayaan pemainnya mengutip tiga mata penuh mengatasi Laos malam tadi begitu berharga dan menjadi tonik terbaik bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

“Pemain pada hari ini (malam tadi) menunjukkan semangat juang tinggi.

"Walaupun kita ketinggalan seawal minit ketujuh, mereka tidak putus asa dan terus memburu gol.

“Begitu juga pada perlawanan bertemu Vietnam nanti, kami tidak akan bermain secara bertahan selama 90 minit, tetapi kami akan mempamerkan corak permainan menyerang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Kuala Lumpur.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad kebangsaan cemerlang menewaskan pasukan pelawat 3-1 menerusi dua jaringan Norshahrul Idlan Talaha, dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak manakala gol tunggal Laos dijaringkan Phitchak Kongmathilath.

Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Norshahrul Idlan berkata kemenangan dilakar pasukan kebangsaan adalah hasil kerjasama rakan sepasukan dan corak taktikal yang menjadi.

“Percaturan jurulatih memasukkan tiga pemain, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Ahmad Hazwan Bakri pada separuh masa kedua berjaya menggerakkan bahagian serangan dan memberi masalah kepada pasukan lawan.

“Kami agak bergelut pada awal permainan tetapi selepas rehat kami banyak melakukan serangan dan akhirnya berjaya menyumbat dua gol penting,” katanya.

Penyerang Pahang itu turut berharap rakan sepasukan dapat menjaringkan gol pada perlawanan akan datang dan mahukan penyerang muda negara, Muhammad Akhyar dan Muhammad Safawi membantu di bahagian jentera serangan negara.

Malaysia akan berkunjung ke Vietnam bagi perlawanan ketiga di Stadium Nasional My Dinh pada 16 Nov ini.

Seterusnya skuad kebangsaan bakal melayan kunjungan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 24 Nov.

- Bernama

Lihat Komen
ADS