Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Yusri Che Lah dilantik ketua jurulatih the Red Warriors

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) secara rasmi melantik Yusri Che Lah sebagai Ketua Jurulatih The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, keputusan tersebut diambil selepas mengadakan perbincangan dengan jurulatih kelahiran Perlis itu pada 12 November lepas.

“Yusri bersetuju untuk menyambung kontrak setahun lagi sehingga 2019 bersama pasukan TRW yang mana pada musim ini dia dipertanggungjawab mengendalikan pasukan sebagai pemangku jurulatih.

"Ia satu keputusan positif (kepada pasukan) memandangkan kita mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk kembali ke Liga Super musim 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musim ini Yusri Che Lah diberikan kepercayaan mengemudi TRW sebagai pemangku jurulatih sebanyak dua kali selepas Kafa memecat jurulatih dari Thailand, Sathit Bensoh pada awal musim dan peletakan jawatan jurulatih dari Syria, Fajr Ibrahim pada pertengahan musim ini.

Bibi Ramjani berkata pelantikan Yusri sebagai Ketua Jurulatih The Red Warriors berkuatkuasa secara rasmi bermula hari ini.

"Beliau akan diberi tanggungjawab untuk memenuhi KPI yang ditetapkan dan kami menyerahkan sepenuhnya mandat kepada Yusri bagi menentukan pemain tempatan dan import yang bakal menggalas cabaran dalam saingan Liga Premier musim depan.

"Kami harap dengan pengalaman yang dimiliki Yusri akan dapat membina semula pasukan Kelantan sekaligus membawa kejayaan kepada pasukan musim depan," katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Yusri pada musim ini termasuklah berjaya membawa pasukan Kelantan layak beraksi ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

-Bernama

Lihat Komen
ADS