Kerajaan Kelantan berbangga dengan tindakan mereka memperkenalkan pemakaian menutup aurat untuk kegiatan sukan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Wan Roslan Wan Hamat berkata negeri itu sudah lama menguatkuasakan sukan menutup aurat termasuk melalui kejohanan bola sepak Liga DUN dan bina badan Awang Selamat.

Wan Roslan berkata, orang Islam perlu menjadikan sukan sebagai wasilah bagi memastikan ajaran agama dipatuhi, walaupun susah dilaksanakan, lapor Harakahdaily.

“Setidak-tidaknya kita kena berusaha ke arah itu dan bukannya menolak tanpa melihat asasnya kerana ada atlet luar negara juga mengenakan pakaian menutup aurat,” beliau dipetik sebagai berkata di Kota Bharu.

Sebelum itu kerajaan PAS Terengganu memperkenalkan konsep pemakaian patuh syariah bermula tahun depan.

Exco negeri itu Wan Sukairi Wan Abdullah memberitahu ia susulan hasrat kerajaan mereka melaksanakan dasar Islam dalam semua bidang.