Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
LRT Bukit Jalil beroperasi hingga 1 pagi
Diterbitkan:  Nov 29, 2018 11:39 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

PIALA AFF | Orang ramai disaran menggunakan kemudahan LRT untuk ke Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Sabtu ini jika mahu menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Suzuki 2018 di antara Malaysia dan Thailand.

Menurut Rapid Rail Sdn Bhd perkhidmatan LRT di stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga 1 pagi sempena perlawanan tersebut.

Kata syarikat itu lanjutan operasi dibuat berikutan jangkaan kehadiran penyokong yang lebih besar jumlahnya daripada perlawanan ketika Malaysia menentang Myanmar pada Sabtu lepas.

Tambahan pula kata Rapid Rail, FAM mengurangkan harga tiket bagi perlawanan Sabtu ini.

"Untuk keselesaan, pengguna boleh menggunakan LRT laluan Sri Petaling berintergrasi dengan LRT laluan Kelana Jaya di Stesen LRT Putra Height dan Masjid Jamek; serta berintergrasi dengan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang di Stesen MRT Merdeka, yang berhubung dengan Stesen LRT Plaza Rakyat.

"Ia juga berhubung dengan perkhidmatan KTM Komuter di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, sekali gus menjadi pilihan terbaik pengguna ke Stadium Bukit Jalil," menurut kenyataan itu.

Pengguna juga dinasihatkan menggunakan kemudahan parkir dan gerak (park 'n ride) di sepanjang laluan Sri Petaling khususnya di stesen Putra Height, Awan Besar, Muhibbah, Kinrara BK5, IOI Puchong jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong, Sungai Besi dan Bandar Tasik Selatan lalu meneruskan perjalanan menggunakan LRT ke Bukit Jalil.

Jelas Rapid Rail, stesen LRT dan MRT lain akan ditutup seperti biasa tetapi memberi laluan untuk semua penumpang keluar di stesen-stesen berkenaan dan meneruskan perjalanan masing-masing di stesen pertukaran sama ada di Stesen Maluri atau Stesen Plaza Rakyat dan Merdeka untuk menggunakan perkhidmatan MRT; atau di Masjid Jamek untuk ke laluan Kelana Jaya.

Di samping itu, para penumpang juga boleh bertukar ke laluan Kelana Jaya atau MRT di stesen pertukaran Pasar Seni.

"Pengguna juga disarankan menggunakan kad perjalanan MyRapid dan Touch 'n Go untuk perjalanan lebih lancar di semua stesen terlibat dan menggelakkan daripada beratur panjang untuk membeli token perjalanan di mesin penjualan tiket.

"Alternatif lain adalah membeli token untuk perjalanan pulang sebaik saja sampai di Stesen LRT Bukit Jalil namun pengguna perlu memastikan token tersebut tidak hilang ketika berada di stadium," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS