Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Chong Wei turun gelanggang dua minggu lagi
Diterbitkan:  Dec 4, 2018 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Jaguh badminton negara Lee Chong Wei dijadualkan kembali menjalani latihan di gelanggang Akademi Badminton Malaysia (ABM) dalam masa dua minggu lagi.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Mohamad Norza Zakaria.

Katanya Chong Wei yang juga pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berada dalam keadaan baik.

"Saya difahamkan Chong Wei ada berjumpa jurulatihnya, Hendrawan dan menyatakan hasratnya untuk kembali ke gelanggang secepat mungkin, namun beliau perlu mendapat kebenaran daripada doktornya terlebih dahulu.

"Buat masa sekarang, Chong Wei hanya melakukan latihan fizikal dan ada juga menjenguk pemain lain ketika sesi latihan.

"Bagi BAM, kita mahu beliau melalui proses pemulihan terlebih dahulu seperti disaran doktor," katanya kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan bas oleh Bank Rakyat kepada BAM di Menara Bank Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad Norza berkata secara peribadi beliau yakin pemain dari Pulau Pinang itu dapat bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan kelayakan Sukan Olimpik 2020 yang dijadualkan bermula Mei depan.

Sebelum ini, Chong Wei dilaporkan mengesan penyakitnya selepas kembali daripada Terbuka Indonesia dan melakukan pemeriksaan kesihatan di dua hospital pakar di ibu negara.

Doktor mengesahkan beliau menghidap kanser hidung tahap awal pada tahun ini dan dinasihatkan untuk ke Taiwan bagi mendapatkan pandangan kedua serta rawatan.

Chong Wei kembali ke Malaysia pada Oktober lalu selepas menjalani rawatan selama hampir tiga bulan di Taiwan.

Pada November lepas, pemain berusia 36 tahun itu mengesahkan kini bebas daripada kanser hidung.

- Bernama

Lihat Komen
ADS