Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
BAM tak sambung kontrak 5 jurulatih, 12 pemain
Diterbitkan:  Dec 5, 2018 5:30 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengecilkan bilangan skuad negara pada tahun depan dengan menggugurkan lima jurulatih serta 12 pemain kebangsaan.

Selepas penilaian dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), BAM memutuskan untuk mengecilkan skuad sedia ada daripada 60 kepada 48 pemain manakala jurulatih kebangsaan ketika ini seramai 17 orang akan dikurangkan kepada 12.

Pengerusi C&T BAM, Datuk Ng Chin Chai bagaimanapun enggan mendedahkan senarai nama jurulatih terlibat, namun menegaskan mereka sudah diberitahu terlebih dahulu sebelum ia dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.

"Pengurangan ini berlandaskan kepada dasar baharu badan induk sukan badminton. Saya harap dengan pengurangan ini, ia mampu membentuk pasukan yang lebih baik pada masa akan datang.

"BAM akan bertindak lebih tegas bagi memastikan setiap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kepada pemain dan jurulatih boleh dicapai," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat C&T di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Beliau berkata senarai penuh nama pemain dan jurulatih bagi musim baharu akan diputuskan pada Januari tahun depan.

Chin Chai berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menyerap masuk beberapa pemain tempatan yang tidak bernaung di bawah BAM, namun beraksi cemerlang pada kejohanan peringkat kebangsaan, ke dalam skuad negara.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan senarai pemain yang mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan atas beberapa faktor termasuk kecederaan selain mahu bergerak secara profesional.

Mereka ialah pemain perseorangan lelaki Iskandar Zulkarnain Zainuddin, perseorangan wanita Woon Khe Wei serta beregu wanita Lee Zii Yii, Goh Yea Ching dan Tan Sueh Jeou.

- Bernama

Lihat Komen
ADS