Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tengok gol Syahmi mufti teringat legenda Brazil
Diterbitkan:  Dec 6, 2018 11:55 AM
Dikemaskini: 6:50 AM

PIALA AFF | Bak Socrates - kata Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad mengulas jaringan cantik minit ke-28 pemain Harimau Malaya malam tadi.

Sambil mengucapkan tahniah kepada skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu Dr Zulkifli berkata kenangannya terhadap salah seorang pemain terbaik Brazil itu menjelma ketika melihat Syahmi meledakkan gawang Thailand dari luar kotak penalti.

Jaringan itu membolehkan Malaysia menyamakan kedudukan 1-1 selepas tertinggal kesan gol pada gawang Malaysia pada minit ke-21.

"Gol pertama Malaysia oleh Syahmi Safari pada minit ke-28 mengingatkan saya kepada nostalgia gol jaringan legenda dan bekas kapten Brazil, Sócrates.

"Bagi saya, itu antara gol yang terbaik setakat ini," katanya.

Malam tadi skuad Harimau Malaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFF selepas berjaya mengekang asakan bertali arus dari pasukan lawan.

Kedudukan terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan. Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Bukit Jalil pada 1 Dis lalu kedua-dua pasukan juga terikat tanpa jaringan.

Terus bina semangat

Namun peraturan kelebihan gol di tempat lawan memberikan laluan kepada skuad kebangsaan Malaysia untuk bertemu pemenang di antara Vietnam dan Filipina malam ini.

Pusingan pertama separuh akhir di Filipina menyaksikan Vietnam menundukkan lawan 2-1.

Gol kedua Malaysia dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-71.

Thailand berpeluang meremukkan perasaan jutaan rakyat Malaysia beberapa saat sebelum perlawanan tamat apabila pengadil memberikan tendangan penalti.

Bagaimanapun Adisak Kraisorn sebaliknya meluluhkan perasaan penyokong negaranya apabila menendang bola tinggi melepasi palang gol yang dikawal Mohd Farizal Marlias.

Dr Zulkifli berkata beliau memang sudah menjangkakan pasukan Malaysia mampu melakar kejayaan berdasarkan prestasi dipamer keseluruhan pemain.

"Selain itu, sinergi jurulatih Tan Cheng Hoe dan barisan pemain yang mantap menghasilkan natijah yang membanggakan semalam," katanya.

Pada masa sama Dr Zulkifli berharap skuad kebangsaan tidak boleh leka sebaliknya terus membina semangat untuk mencapai kejayaan pada perlawanan akhir nanti.

"Jangan leka dan terus membina semangat untuk melakar kejayaan yang sudah tertangguh beberapa tahun.

"Moga #HarimauMalaya akan menjadi juara #AFFSuzukiCup2018," katanya.

Untuk rekod perlawanan akhir akan diadakan dua kali, masing-masing pada 11 dan 15 Dis ini.


Nota editor: Berita ini sudah dikemas kini kerana terdapat fakta yang kurang tepat pada versi asal. Versi sebelum ini merujuk mufti Perlis. Kesilapan ini amat dikesali.

Lihat Komen
ADS