Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Piala AFF: 40,000 tiket dijual dalam talian
Diterbitkan:  Dec 6, 2018 6:35 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Sebanyak 40,000 tiket untuk aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, akan dijual secara dalam talian di laman sesawang www.tickethotline.com.mybermula esok dan Sabtu ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingam dalam satu kenyataan memaklumkan 20,000 keping akan dijual esok, manakala baki 20,000 tiket lagi akan dijual pada Sabtu, dengan waktu penjualan bermula 9 pagi untuk kedua-dua hari berkenaan.

“Sementara baki 40,000 keping tiket lagi akan dijual secara fizikal bermula Ahad ini dan lokasi-lokasi penjualannya akan dimaklumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata tiket final pertama hanya akan mula dicetak di Bangkok, Thailand oleh syarikat tiket dilantik Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) selepas berakhir aksi separuh akhir kedua antara Vietnam dan Filipina di Hanoi, malam ini.

Stuart berkata tiket yang siap dicetak nanti, dijangka tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu sebelum mula dijual kepada orang ramai pada Ahad ini.

Dalam perkembangan sama, Stuart memaklumkan FAM akan memberi keutamaan pembelian tiket final pertama untuk penyokong tempatan yang hadir menyaksikan aksi separuh akhir kedua antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, malam tadi.

“Sila simpan keratan tiket separuh akhir kedua bertemu Thailand malam tadi kerana FAM sedang berbincang untuk memberi keutamaan kepada anda semua dalam proses membeli tiket ini. Nantikan pengumuman rasmi mengenainya,” jelas Stuart.

Beliau berkata FAM menetapkan harga tiket lebih murah untuk aksi final pertama, RM40 bagi tempat duduk terbuka (RM10 lebih murah berbanding edisi 2014) dan RM5 bagi kanak-kanak (RM5 lebih murah berbanding edisi 2014), selain tempat duduk grandstand berharga RM50.

Ia sebagai menghargai sokongan padu penyokong skuad negara yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil ketika aksi separuh akhir pertama antara Malaysia dan Thailand pada 1 Dis lepas, jelas Stuart.

Sementara itu, beliau menjelaskan FAM akan menguruskan urusan pembelian tiket untuk aksi final kedua kepada peminat bola sepak negara yang berminat menyaksikan perlawanan berkenaan di tempat lawan pada 15 Dis ini.

Malaysia layak ke final walaupun seri 2-2 menentang Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam tadi.

Keputusan seri itu sudah mencukupi untuk skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Dis lepas.

Lawan Malaysia pada aksi final akan ditentukan pada separuh akhir kedua antara Vietnam dan Filipina di Hanoi, malam ini, dengan Vietnam meraih kemenangan tipis 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Bacolod City, Filipina, 2 Dis lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS