Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Peminat berang tiket akhir Piala AFF dijual 'terlajak awal'
Diterbitkan:  Dec 7, 2018 2:19 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

FAM menjadi sasaran sebahagian penyokong Harimau Malaya apabila jualan tiket secara dalam talian hari ini dijual lebih awal daripada sepatutnya gara-gara 'kesilapan teknikal.'

Melalui pengumuman di akaun rasmi Facebook FAM pihak yang mengendalikan penjualan secara dalam talian itu, tickethotline sepatutnya membuka jualan 20,000 tiket mulai jam 9 pagi tadi.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam tickethotline menjalankan ujian sistemnya setengah jam lebih awal.

"Atas tindakan www.tickethotline.com.my melakukan ujian sistemnya setengah jam lebih awal bagi jualan aksi [...] yang sepatutnya bermula 9 pagi tadi, 20,000 keping tiket habis terjual dalam masa sangat singkat sebentar tadi," katanya.

Salah seorang penyokong Harimau Malaya yang menggunakan nama Nik Lee berkata, perkataan paling sesuai dilafazkan kepada FAM dan ejen menjulan tiket itu ialah carutan.

"Bagaimana tak p***rnya apabila sebelum ini diumumkan tiket akan dijual bermula jam 9 pagi tetapi tickethotline telah menjualnya 30 minit lebih awal dengan alasan melakukan ujian sistem," katanya.

Menurut Nik Lee peminat tidak boleh menerima alasan berkenaan kerana ia dijual lebih cepat daripada yang dijanjikan, malah berlaku semasa sistem sedang diuji saja.

Ahad jual tiket fizikal

Katanya ramai orang bersedia untuk membeli tiket seawal jam 8 pagi dan cuba melakukan transaksi di laman sesawang tickethotline namun gagal.

Pada jam 8.50 pagi pula kata Nik Lee, muncul makluman bahawa permohonan membeli tiket yang diperuntukkan bagi jualan hari ini sudah melebihi had.

Ahmad Fadzil pula menyalahkan tikethotline yang membuat jualan awal.

"Kalau (dah kata) pukul 9 mula jual, pukul 9-lah. Apahal nak uji-uji pulak?" katanya di Facebook FAM.

Aksi separuh akhir di antara Malaysia dan Thailand Rabu lalu

Bagi Muhammad Khairul dia sukar mempercayai tiket perlawanan tersebut boleh habis secepat itu.

"Aku online 8.45 pagi dah tak boleh, bebal... Korang tak ada otak ke cakap pukul 9 pagi mula jual, 8.45 pagi dah tak boleh beli. Baik korang jadi lembu lagi baiklah," tulisnya.

 

Harimau Malaya akan berdepan Vietnam pada perlawanan akhir pusingan pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Dis ini.

Dengan prestasi membanggakan pada perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok dua hari lalu harapan peminat bola sepak melonjak ketara.

Justeru mereka bertumpu kepada pembelian tiket secara dalam talian bagi memastikan tempat menonton pertembungan Harimau Malaya dengan Vietnam - yang mengalahkan Filipina - bagi merebut kejuaraan elit di peringkat Asia Tenggara itu.

Disebabkan sambutan hangat itu Ramalingam berkata FAM memutuskan untuk menambah jumlah tiket yang boleh dibeli secara dalam talian hari ini.

Katanya tambahan 10,000 tiket itu akan dijual secara dalam talian hari ini, manakala selebihnya mulai jam 9 pagi Sabtu.

"Seterusnya, baki 40,000 keping tiket lagi akan dijual secara fizikal bermula Ahad ini," katanya.

Lihat Komen
ADS