Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
AFF: AirAsia terbangkan 345 ‘ekor’ Harimau Malaya ke Hanoi

AirAsia Malaysia sekali lagi mengambil inisiatif dalam menyemarakkan suasana final kedua Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam menerusi dua penerbangan khas membawa penyokong Harimau Malaya ke Hanoi, hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia (Perniagaan Penerbangan), Bo Lingam berkata pihaknya amat berbesar hati untuk menerbangkan sejumlah 345 ‘ekor’ Harimau Malaya bagi memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan yang berdepan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh esok.

“Ini merupakan usaha hebat oleh AirAsia dan semua rakyat Malaysia yang pergi menyokong skuad negara dan kami membuat tawaran, sebab itulah kami mempunyai penerbangan sewa khas dengan tambang istimewa.

“Malangnya, ia merupakan waktu puncak (jadi) kami tidak dapat menyediakan banyak penerbangan,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), hari ini.

Pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa lepas, Malaysia bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mengikat Vietnam 2-2 hasil jaringan Shahrul Mohd Saad diikuti sepakan percuma Muhammad Safawi Rasid.

Penerbangan khas disediakan AirAsia itu menyaksikan penyokong membayar harga tambang lebih murah iaitu berjumlah RM449.

AirAsia menunjukkan komitmen yang tinggi kepada bidang sukan Malaysia menerusi kempen ‘Daretodream’ yang menyaksikan syarikat penerbangan itu memberi sokongan kepada atlet negara di semua peringkat dengan satu matlamat iaitu meletakkan nama Malaysia sebaris dengan negara tersohor lain.

Antara atlet negara yang menerima sokongan AirAsia Malaysia selama ini ialah jaguh lumba basikal Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa serta ratu terjun Leong Mun Yee dan pemain boling Syaidatul Afifah Badrul Hamid.

- Bernama

Lihat Komen
ADS