Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Taekwondo S'ngor dihalang hadir AGM, dakwa ada konspirasi

Persatuan Taekwondo Negeri Selangor WTF (TNS) mendakwa terdapat konspirasi oleh beberapa pihak tertentu selepas badan tersebut tidak dibenarkan menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Taekwondo Malaysia (TM) yang diadakan hari ini.

Presidennya, Dr T Arasu berkata ahli jawatankuasa TNS diberitahu supaya tidak dibenarkan menghadiri AGM yang diadakan hari ini di Hotel Maluri, Cheras.

"Kami tidak dibenarkan menghadiri ke AGM hari ini selepas Pesuruhjaya Sukan Malaysia menasihati TNS untuk mengendalikan semula AGM TNS kali ke-8 dalam jangka masa terdekat selepas mendapati AGM sebelumnya tidak teratur."

Namun, Arasu mendakwa keputusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia adalah berat sebelah bagi tujuan beberapa individu dari Taekwondo Malaysia dalam usaha menghalang AJK Taekwondo Selangor bertanding pada pemilihan TM kali ini.

Menghubungi Malaysiakini, Arasu berkata tiada bukti menunjukkan AGM Taekwondo Selangor tidak teratur.

"Malah, Pesuruhjaya Sukan Malaysia tidak pernah menghubungi kami semasa proses siasatan. Bagaimana, mereka boleh kata AGM kami tidak teratur sedangkan kami tidak pernah dipanggil ke siasatan?" Soalnya.

Tiada kuasa halang

Menurutnya lagi, Persatuan Taekwondo Malaysia juga tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka daripada menghadiri AGM ini.

"Kami persatuan sukan negeri mempunyai perlembagaan sendiri. Kami hanya bergabung dengan persatuan kebangsaan. Maka, jawatankuasa kebangsaan tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang menghalang kami.

"Lebih mengejutkan Pesuruhjaya Sukan Malaysia hanya menasihati kami untuk mengadakan semula AGM. Bukannya persatuan kami diiktiraf sebagai tidak sah. 

"Kami boleh membuat rayuan atau membawa isu ini ke mahkamah," jelas Arasu sambil mengesahkan mereka masih tidak menerima sebarang surat rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia berkenaan keputusannya.

Dalam pada itu, Arasu menjelaskan pemilihan kali ini mendapati pertandingan enam penjuru bagi jawatan Presiden Taekwondo Malaysia selepas penyandangnya Tan Sri SA Vignewaran bercadang tidak mengekalkan jawatannya.

'Selangor, jumlah undi tertinggi'

Selain itu, beliau bersama timbalan presiden dan setiausaha agung juga turut tidak hadir ke AGM hari ini.

"Antara nama besar yang bertanding bagi jawatan presiden adalah Mohd Nazifuddin anak bekas perdana menteri Najib Razak, Azizul Anuar, anak bekas ketua menteri Sarawak Allahyarham Adenan Satem. Turut bertanding jawatan presiden ialah L Puganeswaran, Timbalan Presiden Taekwondo Selangor.

"Untuk rekod, Persatuan Taekwondo Negeri Selangor mempunyai jumlah undi tertinggi berbanding negeri lain. Ini yang menyebabkan ada orang sengaja cuba menghalang kami ke AGM ini," tegasnya lagi.

Dalam pada itu Arasu turut menyatakan telah membuat satu laporan polis berkenaan isu ini di balai polis Cheras.

“Kami nak pihak polis membuat satu siasatan penuh dengan kes ini.”

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas Persatuan Taekwondo Malaysia dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas.

Lihat Komen
ADS