Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Masa untuk Harimau Malaya melangkah lebih jauh
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 8:25 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Setelah melakar prestasi membanggakan di peringkat Asean dengan mucul sebagai naib johan Piala AFF Suzuki pada 15 Dis, FAM kini mahu Harimau Malaya melakar kecemerlangan di peringkat Asia pula.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata perkara menjadi keutamaan kepada pasukan itu pada tahun depan ialah mempamerkan prestasi unggul pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Turut diutamakan, katanya, menambah baik kedudukan negara dalam ranking Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Memandangkan Harimau Malaya mencatat prestasi membanggakan apabila kalah tipis kepada Kyrgyzstan - yang menduduki tangga ke-91 - dan Vietnam - tempat ke-100 - baru-baru ini, Stuart berkata Malaysia tidak sepatutnya melungsur ke anak tangga ke-167.

“Saya rasa kita patut berada dalam senarai 100 pasukan teratas.

"Matlamat FAM adalah untuk meningkatkan kedudukan negara, malah pada kejohanan Piala AFF baru-baru ini pun, prestasi kita tidak jauh ketinggalan berbanding Thailand dan Vietnam.

"Kedua-dua pasukan Asean itu melayakkan diri kejohanan Piala Asia 2019.

"Pusingan kelayakan itu nanti akan menjadi ujian besar bagi Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe, sekiranya beliau masih lagi berkhidmat (selepas kontrak beliau tamat hujung Disember ini).

Paraguay, Asia Barat berminat

“Sudah sampai masanya FAM melihat lebih jauh dari peringkat Asean, bagaimanapun, kami perlu mendapat perlawanan persahabatan berkualiti sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan nanti.

"Sekiranya kami bermain menentang pasukan Asean dan melangkah ke pusingan kelayakan, ia merupakan peringkat yang benar-benar mencabar,” kata beliau kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Stuart FAM juga berharap pemain negara akan memanfaatkan pengalaman Piala AFF untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi memandangkan usia skuad masih terlalu muda dan hanya dianggotai beberapa pemain berpengalaman.

Tan Cheng Hoe

"Harapan saya ialah pengalaman ini akan membawa mereka ke peringkat seterusnya apabila kami beraksi pada pusingan kelayakan dan mereka akan bermain dengan jauh lebih baik lagi,” katanya.

Stuart berkata pasukan kebangsaan menerima pertanyaan dari negara sejauh Paraguay - pasukan nombor 32 dunia dan bekas juara Amerika Selatan - serta Asia Barat untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada Mac tahun depan.

Bagaimanapun, menurut beliau, memandangkan jarak perjalanan yang perlu ditempuh dan kos yang perlu ditanggung, keputusan tentang perkara itu akan hanya dibuat selepas diadakan perbincangan dengan Cheng Hoe berkaitan keutamaan beliau.

“Saya ada mendengar tentang negara yang boleh kami adakan perlawanan. Kami juga mengutus surat kepada negara berkenaan untuk mengetahui tentang jadual mereka.

"Semoga menjelang akhir tahun ini, FAM akan tahu pasukan manakah yang akan kami tentang pada Mac dan Jun nanti,” katanya.

Satukan semua rakyat

Sementara itu, Stuart menyifatkan kempen skuad Harimau Malaya semasa kejohanan Piala AFF 2018 sebagai mengagumkan apabila mereka memberi inspirasi kepada kebanyakan peminat bola sepak untuk berkata: “Akhirnya, dapatlah juga saya menyaksikan bola sepak Malaysia”.

“Kalaulah kami menang piala itu, ia akan menjadi lebih manis lagi.

"Kami mencipta suatu jenama bola sepak, asas sokongan dan falsafah yang kini diyakini para penyokong permainan bola sepak.

"Kami akan cuba amalkan falsafah ini dalam membangunkan pasukan lain, termasuk pasukan negeri.

“Semalam, antara perkara yang saya maklumkan kepada (Menteri Belia dan Sukan) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ialah apa yang dilakukan bola sepak kami untuk negara dua minggu lepas sungguh luar biasa.

Ia menyatukan manusia daripada pelbagai bangsa dan parti politik. Bola sepak semacam suatu penawar bagi ketegangan,” katanya.

Stuart, yang dilantik sebagai setiausaha agung FAM empat bulan lepas berkata, apa yang mengecewakan beliau ialah isu penjualan tiket secara dalam talian dan keadaan yang terlalu sesak di Stadium Nasional Bukit Jalil semasa perlawanan akhir pertama.

Malaysia menjadi naib johan Piala AFF Suzuki apabila kalah dengan agregat 3-2 kepada Vietnam pada perlawanan akhir Sabtu lepas.

Dalam perjalanan mereka ke pusingan akhir, skuad Harimau Malaya mengatasi Thailand berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan setelah seri 2-2 pada peringkat separuh akhir.

- Bernama

Lihat Komen
ADS