Ekspo Seni Mempertahankan Diri Borneo Siri Kedua 2018 (B-Maex) yang akan berlangsung di Labuan hujung minggu ini dijangka dapat menarik pengunjung yang ramai dengan penampilan bekas juara dunia Muay Thai serta atlet seni mempertahankan diri campuran (MMA) dari Filipina.

Acara tiga hari bermula Ahad itu yang diiktiraf oleh International Sport Kick Boxing (ISKA) Borneo, dianjurkan secara bersama oleh Labuan Sport Kickboxing Association (LSKA), Labuan Wushu Association dan Borneo Combat Gym.

Bekas juara dunia Muay Thai Marco ‘Machine Gun’ Tentori dijadualkan bertemu jaguh Malaysia Hisham ‘Zeyphrus’ Samsudin bagi kategori 75 kilogram Kejuaraan ISKA B-Maex manakala Fritz Biagtan dari Filipina akan berdepan Mardy Achok

Menurut pengerusi jawatankuasa penganjur Tan Chee Haw, ekspo itu menarik 250 penyertaan dari dalam dan luar negara seperti China, Australia, Filipina dan Brunei.

Katanya acara pada tahun ini menampilkan beberapa acara sukan tempur antaranya Muay Thai (K1), MMA serta ‘Forms & Weapon’ (wusyu, silat, taekwondo, capoeira).

“Kami juga memperkenalkan beberapa acara baharu antaranya gusti Cina, ‘Taiji push hand’, tinju dan ‘sanda’.

“Selain itu, kita juga mengadakan pertandingan ‘pattern and weapons’ iaitu peserta bebas menunjukkan kreativiti mereka dalam sebarang gaya seni mempertahankan diri tradisional dan tidak terikat dengan peraturan,” katanya.

Pengasas B-Maex Alvin Chong pula berkata antara acara utama ialah pertarungan melibatkan golongan istimewa.

“B-Maex membantu mempromosikan Labuan sebagai destinasi pelancongan selain membangunkan bakat dan dalam situasi ini turut mendidik orang ramai tentang keupayaan orang kelainan upaya serta membimbing golongan kelainan upaya mencapai matlamat melangkaui batas keupayaan fizikal mereka,” katanya.

Menurut Chong B-Maex bukan acara pertarungan semata-mata tetapi juga platform mempromosikan perpaduan menerusi seni mempertahankan diri.


-- Bernama