Meski dengan rekod tanpa kalah untuk 20 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini, Pengurus Liverpool Jurgen Klopp tetap merasakan masih terlalu awal untuk bercakap tentang kejuaraan.

"Saya bukan orang paling pandai di dunia, tapi saya bukanlah orang bodoh.

"Berapa mata yang dikutip di penghujung Disember tidak penting.

"Sekiranya kami kehilangan tiga mata dalam perlawanan seterusnya, tajuk berita seterusnya akan kata kami cemas," katanya.

Pada perlawanan awal pagi tadi, Liverpool mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga selepas membenam Arsenal 5-1 untuk terus berada di tangga teratas.

Liverpool kini berjarak sembilan mata daripada pencabar terdekat Tottenham Hostpur, yang tewas pada pasukan tangga ketujuh liga, Wolverhampton Wanderers.

Klopp juga menegaskan bahawa meskipun dia dan anak buahnya mengetahui kekalahan Tottenham semalam, ia tidak membawa apa-apa perbezaan.

"Sebelum perlawanan kami tahu tentang kekalahan Tottenham sebab ia ditayangkan di kaca TV. Tapi saya tidak nampak mana-mana pemain Liverpool tersenyum di bilik persalinan. Mereka hanya tengok dan terus masuk ke padang.

"Orang akan kata, kami akan menang hari ini. Tapi kami perlu mula berlari dan cuba yang terbaik," katanya.

Manchester City yang berada di tangga ketiga dengan berbaki satu perlawanan sebelum melangkah ke tahun baru berpeluang merapatkan kedudukan dan memintas Spurs sekiranya menang ke atas Southampton malam ini.

Manchester City akan bertembung dengan anak buah Klopp pada Khamis.

Mengulas prestasi Liverpool, Pengurus Manchester City, Pep Guardiola bagaimanapun mengakui kelebihan Liverpool dalam saingan musim ini.

“Apa yang kami boleh kata apabila Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah dan menjaringkan banyak gol? Kami tidak dapat menyaingi mereka (dari segi itu setakat ini)," katanya.

Meski sudah menjulang pelbagai kejuaraan termasuk lima kali Liga Juara-Juara, The Reds belum pernah menempah nama sebagai juara Liga Perdana Inggeris sejak 1964.