Amaran Guardiola: Kalahkan Liverpool jika mahu kekal juara
Pengurus Manchester City Pep Guardiola mengingatkan anak buahnya bahawa sekiranya mereka gagal mengalahkan Liverpool dalam perlawanan Khamis ini, maka "hampir mustahil" untuk pasukan mereka mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
"Dengan kedudukan Liverpool ketika ini, jika kita hilang mata, semuanya sudah berakhir.
"Hampir mustahil untuk menjadi juara. Sudah tentu, mereka (Liverpool) akan hilang mata, tapi tidak banyak. Dan jika kita mahu teruskan saingan sampai peringkat akhir, kita perlu menang banyak perlawanan.
"Kita sudah lakukan dengan baik pada musim lalu, musim ini juga, cuma pada empat hari lalu (ketika kalah dengan Leicester City)," katanya pada sidang media selepas perlawanan mengalahkan Southampton.
Rekod tanpa kalah untuk 20 perlawanan musim ini menjadikan Liverpool pendahulu liga dengan 54 mata.
City berjaya memotong Tottenham Hotspur untuk berada di tangga kedua dengan 47 mata selepas mengalahkan Southampton dua hari lalu.
City sebelum ini mengikat Liverpool 1-1 di Anfield pada perlawanan awal musim.
Dengan berbaki 17 perlawanan, City berpeluang merapatkan jurang tujuh mata dengan The Reds jika menang perlawanan di Etihad minggu ini.
Justeru, Guardiola berharap kelebihan bermain di padang sendiri akan membantu pasukan mereka.
"Pasukan pendahulu akan bertemu pasukan tangga kedua Khamis ini. Saya tahu jaraknya agak besar - tujuh mata - terutamanya kerana Liverpool menunjukkan persembahan yang konsisten.
"Tapi ia perlawanan di padang sendiri dan dengan harapan bantuan sorakan penyokong di Etihad akan membantu," katanya.

