Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kriteria pemilihan atlet dikaji semula - MOM

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminda kriteria pemilihan atlet kebangsaan untuk mengambil bahagian dalam temasya sukan seperti Sukan Asia dan Sukan SEA bermula tahun ini.

Presiden MOM, Mohamad Norza Zakaria berkata kriteria pemilihan akan ditentukan berdasarkan lima peringkat temasya sukan – peringkat dunia, peringkat Asia, peringkat SEA, peringkat belia dan lain-lain peringkat.

“Satu daripada perubahan utama dalam kriteria pemilihan akan berdasarkan musim semasa terbaik dalam tempoh 12 bulan, bukannya keputusan di temasya sukan sebelumnya untuk layak bagi kategori dibiayai sepenuhnya atau dibiayai sendiri,” kata Mohamad Norza dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutif MOM untuk 2018 – 2021 di Wisma OCM, di Kuala Lumpur.

Beliau berkata pemilihan ketua kontinjen untuk temasya sukan akan dibuat menerusi satu senarai calon yang dipilih MOM.

Bagi mereka yang tidak disenaraikan, mereka boleh mengemukakan permohonan menerusi pencalonan oleh persatuan sukan kebangsaan dan sebuah jawatankuasa pencarian akan dibentuk untuk melihat calon-calon sesuai dan mempelawa mereka untuk memohon.

Mohamad Norza berkata jawatankuasa pemilihan dianggotai beliau sendiri selaku Presiden MOM, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, dua anggota bebas yang berpengalaman luas dalam sukan dan Setiausaha Agung MOM, Mohd Nazifuddin Najib yang menjadi ex officio jawatankuasa tanpa hak mengundi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata Filipina yang bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2019 pada November bersetuju untuk menganjurkan 56 sukan yang mengandungi 523 acara.

Beliau berkata MOM telah menjemput wakil daripada Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina untuk datang ke Kuala Lumpur pada 23 Jan ini untuk memberi taklimat terperinci kepada kesemua 23 persatuan sukan kebangsaan negara ini kerana pihak tuan rumah akan memperkenalkan beberapa jenis sukan baharu pada sukan dwitahunan itu.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata MOM akan membuka permohonan kepada pengisian jawatan Ketua Pegawai Operasinya bagi meningkatkan keberkesanan majlis itu dalam memainkan peranannya sebagai badan sukan kebangsaan di dalam negara.

“Kami akan mengiklankan jawatan itu tidak lama lagi dan saya telah memberikan mandat kepada Datuk Mohd Nazifuddin untuk mengendalikan perkara ini,” katanya lagi.


-- Bernama

Lihat Komen
ADS